nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Digital mencorakkan satu trajektori baharu yang lebih kukuh dan tersusun untuk masa depan digital negara sepanjang tempoh dua tahun penubuhannya.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, tugas menubuhkan sebuah kementerian baharu bukan perkara mudah kerana ia membabitkan komitmen yang tidak pernah goyah dalam mengutamakan kepentingan rakyat.
“Dalam tempoh dua tahun ini, kita bukan sahaja meletakkan asas tadbir urus digital negara tetapi turut memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kemampuan kerajaan untuk mentransformasikan perkhidmatan awam secara lebih moden, cekap dan inklusif.
“Saya yakin bahawa kejayaan dikecapi pada hari ini adalah cerminan daya juang warga kementerian, jabatan dan agensi yang sentiasa berusaha memberikan usaha terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Sambutan Dua Tahun Kementerian Digital di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.
Gobind berkata, fokus utama pihaknya adalah tertumpu kepada pembinaan asas, penyusunan struktur dan pengukuhan rangka kerja institusi yang mantap berteraskan tiga tonggak utama iaitu Kerajaan Digital, Ekonomi Digital dan Masyarakat Digital.
“Kita berjaya memperkukuhkan rangka kerja dasar digital negara dengan memetakan mandat setiap jabatan dan agensi di bawah Kementerian Digital supaya lebih jelas, tersusun dan tidak bertindih.
“Selain itu, kita mengasaskan mekanisme penyelarasan antara kementerian, mewujudkan struktur tadbir urus kecerdasan buatan (AI) negara, memperkemas aliran kerja digital kerajaan dan menyusun semula keutamaan program berdasarkan impak sebenar kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mewartakan dan menguatkuasakan perundangan penting seperti Akta Perkongsian Data 2025 [Akta 864] dan meluncurkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP).
“Selain itu, kita sudah memulakan inisiatif rintis Bandar AI (AI Cities) di Putrajaya dan tujuh bandar lain yang membuktikan komitmen kita dalam memperkukuh infrastruktur digital.
“Secara khususnya pada tahun ini, kita berjaya membuktikan kesediaan Malaysia sebagai peneraju agenda digital serantau dengan kejayaan penganjuran beberapa acara penting bertaraf antarabangsa,” katanya.
Melangkah menuju Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), katanya, kementerian itu membawa satu keyakinan baharu bahawa Malaysia mampu melonjak sebagai sebuah negara berteraskan AI menjelang 2030.
“Transformasi ini bergantung kepada keupayaan kita memperkukuh bakat tempatan, menyelaras dasar strategik, memperkasakan perkhidmatan kerajaan melalui GovTech serta memastikan setiap inisiatif digital dirangka berasaskan prinsip inklusiviti dan mementingkan kepercayaan data.
“Kita akan terus mengemudi perubahan ini dengan memastikan bahawa setiap langkah diambil dalam tempoh RMK-13 membuka jalan kepada kejayaan lebih besar.
“Kejayaan itu yang akan menentukan bagaimana Malaysia bukan sahaja menyesuaikan diri dengan dunia digital baharu tetapi berdiri sebagai peneraju utama dalam membentuknya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




