Manchester: Manchester City sekali lagi beraksi tanpa Rodri untuk pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Crystal Palace esok ketika pemenang Ballon d’Or itu masih dalam proses pulih daripada kecederaan hamstring yang mengekang aksinya sejak Oktober.
City benar-benar memerlukan sentuhan pemain tengah Sepanyol berusia 29 tahun itu dalam perebutan kejuaraan, ketika mereka kini hanya dua mata di belakang pendahulu, Arsenal, selepas 15 perlawanan.
“Rodri berlatih dengan sangat baik. Setiap hari dia semakin tajam tetapi saya tidak fikir kita akan melihat dia beraksi hujung minggu ini. Dia masih melalui proses pemulihan,” kata pembantu pengurus City, Kolo Toure.
Toure menggantikan Pep Guardiola yang tidak hadir sidang media praperlawanan disebabkan “urusan peribadi” yang menurut kelab, tidak menjejaskan persiapan perlawanan.
“Ya, Pep okay. Ia hal kecil yang menghalang dia hadir tetapi semuanya baik. Dia akan kembali esok,” kata Toure.
Sementara itu, pertahanan John Stones yang tidak beraksi dalam kemenangan 2-1 ke atas Real Madrid di Liga Juara-Juara (UCL) Khamis lalu dan turut diketepikan ketika menang 3-0 ke atas Sunderland minggu lalu, masih belum disahkan tahap kecergasannya.
“Pemain bercuti hari ini. Esok apabila semua kembali, kita akan tahu lebih jelas.
“Masalah John pada paha. Saya yakin ia bukan isu besar dan dia akan kembali tidak lama lagi.”
Toure turut mengesahkan esok adalah aksi terakhir Omar Marmoush dan Rayan Ait-Nouri sebelum kedua-duanya menyertai skuad kebangsaan Mesir dan Algeria bagi Piala Negara Afrika yang bermula 21 Disember.
Apabila ditanya sama ada Arsenal kini tertekan dengan City yang semakin rapat, Toure menegaskan skuad itu hanya fokus pada prestasi sendiri.
“Kita tahu kualiti Arsenal, mereka ada skuad kuat dan pengurus hebat. Tapi semua bergantung pada kita.
“Kita ada pengurus terbaik dunia yang melakukan kerja luar biasa setiap hari. Semangatnya, cara dia bersama pemain dan staf sangat mengagumkan. Kita tahu dia akan membawa kita sejauh mungkin dalam perlumbaan liga. Fokus kami hanya pada apa yang boleh kami kawal.
“Kami tidak fokus pada Arsenal. Setiap perlawanan bagi kami ibarat final.”
Palace mengumpul 26 mata, lima di belakang City.
© New Straits Times Press (M) Bhd



