Baitulmaqdis: Israel dilaporkan akan melarang kanak-kanak daripada menggunakan telefon bimbit di sekolah rendah bermula Februari lalu, menurut Kementerian Pendidikan negara itu.
Larangan berkenaan diumumkan pada 12 Disember lalu dengan kementerian menegaskan kesan negatif penggunaan peranti itu terhadap pelajar.
Pelaksanaan dasar itu susulan Israel menyaksikan semakin banyak negara yang menghalang penggunaan telefon oleh kanak-kanak di institusi pendidikan.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan, dasar baharu itu akan berkuat kuasa mulai 2 Februari.
Menurut kenyataan sama, kanak-kanak akan dilarang menggunakan telefon bimbit di kawasan sekolah rendah.
Menteri Pendidikan, Yoav Kisch berkata, dasar itu berasaskan kajian di Israel dan di seluruh dunia.
Beliau berkata, langkah itu juga selaras dengan komitmen kementerian untuk mewujudkan persekitaran pendidikan yang sihat dan selamat.
Jelasnya, pelaksanaan dasar berkenaan akan merangkumi program pendidikan di dalam bilik darjah.
“Pelaksanaannya akan merangkumi program pendidikan di dalam bilik darjah serta dialog dengan ibu bapa bagi menerapkan penggunaan telefon yang seimbang, mencegah penggunaan media sosial secara berlebihan dan mengurangkan pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai dengan usia,” katanya.
Sebelum ini, setiap sekolah dibenarkan membuat keputusan sendiri sama ada untuk melarang penggunaan telefon bimbit di kawasan mereka.
Sejak permulaan tahun persekolahan pada September, telefon pintar sudah diharamkan di semua sekolah di Tel Aviv menerusi keputusan pihak perbandaran.
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memaklumkan, pada akhir 2024, 40 peratus sistem pendidikan di seluruh dunia mempunyai sejenis larangan terhadap penggunaan telefon pintar di sekolah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




