am@hmetro.com.my
Pasir Puteh: Lebih 200 penduduk di tiga kampung di sini bimbang apabila hakisan di Pantai Bisikan Bayu dan Pantai Pachakan, semakin teruk.
Keadaan itu semakin teruk setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) apabila berlaku air pasang yang menyebabkan air masuk sehingga ke dalam rumah.
Mereka menyifatkan, sekiranya tiada tindakan dilakukan oleh pihak berwajib, hakisan itu semakin teruk dan meruntuhkan rumah penduduk dengan ada di kalangan mereka kini hanya tinggal beberapa meter sahaja dari pantai.
Penduduk di Kampung Pantai Bisikan Bayu, Nik Awang, 82, berkata jika dahulu untuk pergi ke pantai kena bergilir banyak kali kerana jarak yang jauh.
Namun kini katanya, air pantai sudah masuk ke dalam rumahnya setiap kali air pasang besar berlaku.
“Saya lahir dan dibesarkan di sini. Malah sebuah rumah yang saya diami sebelum ini sudah runtuh akibat akibat hakisan dan kini mendiami rumah baharu yang dibina oleh PETRONAS.
“Namun, rumah baru juga juga sudah dimasuki air setiap kali air pasang kerana jarak pantai dari rumah semakin dekat iaitu hanya lima meter sahaja.
“Walaupun air pasang, saya tetap berada di rumah ini kerana mahu melihat keadaan rumah meskipun anak saya yang tinggal di Pasir Puteh sentiasa mengajak tinggal bersama terutama setiap kali air pasang,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau turut berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya termasuk membina benteng bagi mengatasi masalah hakisan.
Penduduk di Kampung Pachakan, Mat Hadsan Mat Ali, 64, berkata masalah hakisan di pantai berkenaan sudah lama namun sejak tahun lalu masalah berkenaan semakin
Beliau yang juga pengusaha keropok keping berkata, dia sendiri terpaksa mengambil inisiatif dengan membuat benteng menggunakan guni pasir bagi mengelak air masuk ke dalam premisnya.
“Gerai tempat saya membuat keropok kini semakin hampir dengan pantai berbanding dahulu sayup mata memandang jarak gerai dengan pantai.
“Rumah saya juga di sini namun jarak sedikit jauh dari gerai namun sekiranya masalah hakisan ini tidak ditangani, dengan rumah saya pun akan terjejas beberapa tahun lagi.
“Kita bimbang nama Kampung Pachakan dan Pantai Bisikan Bayu akan tinggal nama sahaja nanti sekiranya masalah hakisan semakin teruk,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




