saifulaffendy@hmetro.com.my
Bangkok: Meskipun meraih pingat gangsa di Sukan Sea Thailand, ia umpama ’emas’ bagi atlet 110 meter (m) lari berpagar negara, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif yang membuat penampilan pertama di temasya dwitahunan itu.
Semalam, Armin menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga di belakang pemenang, John Christopher Tolentino dari Filipina yang mencatatkan masa 13.66 saat (s), manakala atlet Singapura, Chen Xiang Ang meraih perak (13.75s).
Atlet negara berusia 20 tahun itu merekodkan 13.85s, sekali gus catatan peribadi terbaiknya, namun gangsa dimenanginya itu sarat dengan kisah kepayahan hidup yang dilalui anak kelahiran Terengganu berkenaan.
Armin mengakui pingat berkenaan cukup bermakna kerana dia memikul tanggungjawab besar sebagai anak tunggal yang menyara keluarga dan tinggal bersama ibunya selepas ibu bapanya berpisah.
“Saya anak tunggal dan saya yang tanggung keluarga. Saya tinggal dengan ibu selepas ibu bercerai dengan ayah,” katanya.
Lebih menyentuh perasaan, Armin mendedahkan dia terpaksa bekerja sambilan demi kelangsungan hidup selain memastikan latihan tidak terabai.
“Kalau saya tak berlatih sebelah pagi, saya kerja ‘part time’ dari 12 tengah malam hingga 8 pagi sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Menurutnya, dia hanya tinggal berdua bersama ibunya dan tidak menerima elaun sebagai atlet kebangsaan, sebaliknya hanya memperoleh elaun sebagai atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu.
“Saya tak dapat elaun sebagai atlet negara. Saya cuma dapat elaun Sukma daripada Terengganu,” katanya yang mengakui gaji bulanannya sekitar RM1,300.
Biarpun jumlah itu kecil bagi sesetengah orang, Armin tetap bersyukur dan reda dengan rezeki yang diperoleh.
“Ini sudah cukup bagi saya. Allah bagi saya rezeki sebanyak ini, saya kena terima,” katanya.
Armin turut berkongsi kata-kata semangat daripada ibunya yang tinggal seorang diri di rumah mereka di Dungun sebelum dia turun beraksi di final.
“Ibu cakap buat yang terbaik, buat untuk keluarga,” katanya.
Ditanya sama ada peluang menjadi atlet kebangsaan sepenuh masa mampu membantu meningkatkan prestasi dan memberi suntikan semangat untuk berlari lebih laju, Armin tidak berselindung dengan harapannya.
“Ya, saya harap dapat menjadi atlet kebangsaan sepenuh masa. Tapi saya tak boleh berlatih di KL (Kuala Lumpur), saya kena berlatih di Dungun sebab saya jaga ibu saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




