saifulaffendy@hmetro.com.my
Bangkok: Raut kecewa jelas terpancar di muka juara dunia, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei selepas tewas kepada gandingan tuan rumah yang juga pasangan nombor 13 dunia, Ruttanapak Oupthong–Jhenicha Sudjaipraparat 15-21, 16-21 pada aksi separuh akhir Sukan Sea Thailand, hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Universiti Thammasat, Rangsit itu menyaksikan pasangan negara yang menduduki ranking nombor tiga dunia itu gagal menampilkan prestasi terbaik.
Ia menjadi kemenangan pertama pasangan tuan rumah ke atas Tang Jie–Ee Wei selepas empat pertemuan.
Kekalahan Tang Jie-Ee Wei terus menggugat sasaran empat emas yang disasarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), selepas terlepas emas dalam acara berpasukan lelaki sebelum ini.
Mengulas kekalahan itu, Ee Wei mengakui mereka masih belum berada pada tahap maksimum walaupun bergelar juara dunia.
“Kami perlu akui kami belum capai tahap maksimum lagi. Walaupun orang cakap kami adalah juara dunia, tapi kami memang belum sampai tahap boleh kawal tekanan dengan sangat baik. Kami pun masih dalam proses pembelajaran,” katanya selepas tamat perlawanan.
Ee Wei turut menjelaskan tekanan tetap wujud dalam perlawanan berintensiti tinggi, namun mengakui ia memberi kesan kepada corak permainan mereka.
“Tekanan mesti ada, tapi sebagai atlet kami kena lupakan tekanan dan berikan yang terbaik, tetapi hari ini memang sukar nak keluarkan permainan kami,” katanya.
Menurutnya, mereka sebenarnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum turun beraksi, namun berdepan kesukaran apabila bertemu pasangan tuan rumah yang mendapat sokongan padu penyokong.
“Kami sedar ia perlawanan yang sukar sebab bertemu wakil tuan rumah. Tapi saya rasa mereka lebih banyak berdepan tekanan daripada kami. Kami juga bergelut dengan prestasi,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan impian Tang Jie–Ee Wei untuk mara ke final tidak kesampaian, sekali gus memaksa mereka berpuas hati merebut pingat gangsa di temasya kali ini.
“Memang tak berpuas hati (raih gangsa) sebab kami letak sasaran lebih tinggi. Ia memang satu pengajaran kepada kami kerana startegi mereka buat kami rasa tak selesa (ketika beraksi),” kata Tang Jie.
© New Straits Times Press (M) Bhd




