Pearly-Thinaah buru emas beregu wanita selepas 10 tahun

Pearly-Thinaah buru emas beregu wanita selepas 10 tahun

saifulaffendy@hmetro.com.my

Bangkok: Pearly Tan–M Thinaah berpeluang menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas menerusi acara beregu wanita apabila mara ke final Sukan Sea Thailand, hari ini.

Gandingan nombor dua dunia itu mengesahkan tiket ke pentas final selepas menewaskan beregu Indonesia, Rachel Allessya Rose–Febi Setianingrum menerusi pertarungan sengit tiga set 21-14, 19-21, 21-16 dalam masa 78 minit pada aksi separuh akhir di Gimnasium Universiti Thammasat, Rangsit.

Kemenangan itu turut menyaksikan Pearly–Thinaah melebarkan rekod pertemuan mereka ke atas pasangan Indonesia berkenaan kepada 3-0.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas dalam acara beregu wanita adalah pada Sukan Sea 2015 di Singapura menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly–Soong Fie Cho, yang menewaskan pasangan negara, Vivian Hoo–Woon Khe Wei di pentas final.

Mengulas perlawanan itu, Thinaah mengakui aksi separuh akhir hari ini cukup mencabar, lebih-lebih lagi apabila Pearly beraksi dalam keadaan kurang sihat kerana batuk.

“Sejujurnya saya sangat bangga dengannya (Pearly). Dia mampu bertahan sehingga tamat perlawanan kerana kami berdua sangat kepenatan. Kami membantu antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Thinaah, biarpun prestasi mereka tidak berada pada tahap terbaik, semangat juang tinggi menjadi kunci kejayaan mara ke final.

“Walaupun prestasi kami tidak sepenuhnya memuaskan, namun kami berjaya mengatasinya. Kami perlu beri kredit kepada diri sendiri dan berasa bangga dengan pencapaian ini,” katanya.

Menyentuh peluang untuk menghadiahkan emas buat negara, Thinaah berkata fokus utama mereka adalah menikmati perlawanan akhir dan beraksi tanpa tekanan.

“Saya rasa semua pemain mahu menang emas. Tapi bagi kami perkara paling penting adalah hanya mahu menikmati perlawanan final esok dan berikan segala-galanya,” katanya.

Sementara itu, Pearly mengakui tahap fizikalnya tidak berada pada tahap terbaik, namun kekuatan mental dirinya dan Thinaah sangat membantunya.

“Aspek fizikal saya memang agak menurun hari ini. Saya banyak bergantung kepada kekuatan mental untuk bertahan. Sudah tentu saya sangat bangga dengannya (Thinaah) kerana hari ini dia bermain dengan sangat baik, banyak ‘çover’ kelemahan dan banyak membantu saya. Sejujurnya, tanpanya saya tidak mungkin dapat memenangi perlawanan ini. Jadi, terima kasih banyak kepadanya,” katanya.

Mengulas peluang untuk menamatkan kemarau kemenangan 10 tahun negara dalam acara beregu wanita di Sukan Sea, Pearly mengakui ia cukup bermakna, namun mereka memilih untuk kekal fokus.

“Sudah tentu ia sangat bermakna kerana ini juga penampilan pertama kami di Sukan Sea, namun semua orang mahukan pingat emas. Jadi kami hanya mahu membuat persiapan untuk perlawanan esok, berehat secukupnya dan bersedia sepenuhnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top