Kultus Korea Selatan sudah berada dalam radar pasukan keselamatan – Saifuddin

Kultus Korea Selatan sudah berada dalam radar pasukan keselamatan – Saifuddin

am@hmetro.com.my

Kulim: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan gerakan kultus dari Korea Selatan sememangnya berada dalam radar pemantauan pasukan keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gerakan itu bagaimanapun setakat ini belum mencapai tahap mengancam keselamatan negara.

Menurutnya, beliau sendiri sudah diberi taklimat daripada Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung latar belakang pertubuhan berkenaan, termasuk corak kegiatan, bentuk pembabitan serta tokoh-tokoh tempatan yang terbabit.

“Jadi, apakah bentuk kegiatannya sehingga sampai pada satu tahap untuk kita katakan mengancam keselamatan negara? Dia belum sampai tahap itu lagi.

“Sebab itu pemantauan berterusan dibuat oleh pihak polis. Kegiatannya hadir dalam bentuk-bentuk umum yang sekilas pandang kita tak nampak sebarang bentuk yang boleh kita anggap sebagai menjadi satu ancaman.

“Jadi, barang-kali kerana penampilannya begitu, maka pembabitan kehadiran beberapa tokoh politik negara itu berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas peluncuran program Kembali ke Sekolah 2026, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pemantauan berterusan pihak polis akan dilakukan bagi memastikan sebarang perkembangan baharu dapat dikesan lebih awal.

Ketika ditanya adakah gerakan itu dikesan di negeri tertentu, beliau berkata, maklumat yang diterimanya belum sampai ke peringkat itu.

Sebelum ini, media melaporkan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa wujud gerakan kultus dari Korea Selatan yang aktif di negara ini.

Beliau turut mendakwa terdapat pembabitan Ahli Parlimen beragama Islam dan individu penting dalam membantu pergerakan berkenaan.

Mohd Asri turut memaklumkan bahawa satu taklimat berkaitan isu itu sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Perlis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top