am@hmetro.com.my
Gerik: Lelaki Orang Asli parah, manakala seorang lagi cedera ringan apabila motosikal ditunggang mereka dirempuh gajah di Kampung Air Banun dekat Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun, di sini hari ini.
Difahamkan, kejadian berlaku sewaktu kedua-duanya bersama seorang rakan lain memasuki kawasan hutan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 11.30 pagi, dengan insiden dikatakan berlaku sekitar 9 pagi.
Beliau turut menafikan maklumat tular mendakwa mangsa parah akibat dipijak gajah, sebaliknya rempuhan berlaku apabila gajah itu melulu ke laluan motosikal mangsa.
“Kakitangan Perhilitan sudah ke hospital dan laporan tidak menyebut bahawa mangsa dipijak gajah. Kalau (mangsa) kena pijak pasti ada kesan tapak kaki gajah itu atas tubuh mangsa.
“(Sebaliknya) gajah itu keluar ke jalan dan terlanggar motosikal mangsa. Mangsa bukan diserang gajah, sebaliknya kebetulan gajah keluar dari hutan dan berlakulah pelanggaran,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Yusoff meminta orang ramai lebih berhati-hati melalui kawasan berkenaan yang juga habitat hidupan liar.
Bahkan katanya, hampir 400 lampu jalan serta ratusan papan tanda amaran hidupan liar melintas dipasang berdekatan lokaliti, untuk perhatian pengguna jalan raya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dalam hantaran di Facebook memaklumkan mangsa yang parah dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
“Saya juga telah meminta maklum balas Perhilitan Daerah bagi memantau keadaan ini dari masa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




