Perbincangan mengenai tanda-tanda kiamat (asyrat as-sa’ah) bukan perbincangan isu kecil atau sampingan.
Ini kerana tanda-tanda kiamat adalah satu daripada empat rukun ad-Din (agama Islam) seperti yang disebut dalam hadis Jibril AS iaitu iman, Islam, ihsan dan tanda-tanda kiamat.
Hadis Jibril AS ini boleh dianggap sebagai teras utama kepada sunah Nabi SAW. Malah, Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi dalam kitabnya al-Mufhim berpandangan, hadis ini patut digelarkan sebagai ummu as-sunah (ibu sunah) kerana mengandungi rumusan daripada seluruh ilmu sunah, sebagaimana Surah al-Fatihah digelarkan sebagai ummu al-Quran (ibu al-Quran) kerana mengandungi rumusan daripada seluruh makna al-Quran.
Demikian juga yang ditegaskan oleh al-Habib Abu Bakr al-‘Adni dalam bukunya, Usul ad-Din al-Arba’ah: at-Thawabit wa al-Mutaghayyir.
Perbincangan secara mendalam mengenai tanda-tanda kiamat yang berlaku di akhir zaman ini dinamakan beliau sebagai ‘fiqh at-tahawwulat’ yang bermaksud kefahaman dan pencerahan mengenai perubahan situasi daripada satu hal keadaan kepada satu hal keadaan lain yang terus berlaku di sepanjang sejarah Islam sehingga akhir zaman berdasarkan petunjuk al-Quran dan sunah.
Al-Habib Abu Bakr al-‘Adni menjelaskan, pengetahuan mengenai tanda-tanda kiamat sebagai rukun ad-Din yang keempat sangat penting dan perlu diperkasakan secara bersungguh terhadap umat Islam yang hidup di akhir zaman ini.
Secara umum, tanda-tanda kiamat terbabit terbahagi kepada tiga iaitu tanda kecil, tanda pertengahan dan tanda besar. Semua perkara ini disentuh dan dihurai secara terperinci dalam beberapa kitab karangan beliau seperti al-Nubzah as-Sughra, al-Usus wa al-Muntaliqat, al-Talid wa at-Tarif dan al-Marsad an-Nabawi.
Dalam hadis Jibril AS, selepas beliau bertanyakan mengenai iman, Islam dan ihsan kepada Nabi SAW, Jibril AS bertanya pada kali keempat: “Khabarkan kepadaku tentang hari Kiamat.” Lalu, Baginda SAW membalas: “Tidaklah orang yang ditanya itu lebih mengetahui tentangnya daripada orang yang bertanya.” Jibril berkata: “Maka, khabarkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya”. Baginda bersabda: “(Antara tanda-tandanya) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menggembala kambing berbangga-bangga membina bangunan yang megah (bertukar menjadi kaya raya).”
Kemudian Jibril pun beredar. Selang beberapa hari Baginda SAW bertanya kepada Umar RA: “Wahai Umar! Adakah kamu tahu siapa yang datang bertanya tempoh hari?” Umar menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya dia ialah Jibril. Dia datang kepada kamu sekalian untuk mengajarkan kamu mengenai agama kamu.” (Riwayat Muslim)
Manakala dalam riwayat Abu Hurairah RA, Baginda SAW menjawab kepada Jibril: “Tidaklah orang yang ditanya tentangnya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya, tetapi aku akan memberitakan kepadamu tentang tanda-tandanya. (Pertama) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya. Maka, itu adalah satu daripada tanda-tandanya. (Kedua) apabila orang yang tidak berpakaian dan berkaki ayam menjadi pemimpin manusia. Maka, itu adalah satu daripada tanda-tandanya. (Ketiga) apabila para penggembala kambing saling berbangga mendirikan bangunan megah. Maka, itu adalah satu daripada tanda-tandanya. (Waktu Kiamat itu) dalam lima perkara ghaib yang tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Allah.”
Kemudian Baginda SAW membaca ayat: “Sesungguhnya hanya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.” (Surah Luqman: 34). (Riwayat Muslim)
Jelasnya, tiada siapa yang dapat mengetahui secara pasti bila masa yang tepat berlaku hari kiamat itu melainkan Allah SWT sahaja.
Bagaimanapun, kita semua boleh mengetahui waktu semakin hampirnya tiba hari kiamat itu melalui tanda-tandanya.
Dalam hadis Umar RA disebutkan dua tanda kiamat, manakala dalam hadis Abu Hurairah RA disebutkan tiga tanda. Meskipun demikian, tanda-tanda terbabit tidak terbatas kepada itu sahaja.
Kemungkinan maksud Nabi SAW menyebut dua atau tiga tanda itu hanya untuk mewakili bentuk gambaran bagaimana berlaku perubahan situasi hidup manusia di akhir zaman nanti.
Transisi daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan lain secara terbalik seperti orang yang berkedudukan rendah berubah kemudian menjadi orang yang berkedudukan tinggi.
Kebanyakan ulama berpendapat bahawa semua tanda yang dinyatakan sudah pun berlaku dalam kalangan umat manusia.
Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Islam Selangor (UIS)
© New Straits Times Press (M) Bhd




