Chery Tiggo 7, 8 PHEV diuji rentasi separuh Semenanjung Malaysia

Chery Tiggo 7, 8 PHEV diuji rentasi separuh Semenanjung Malaysia

lizamridzuan@hmetro.com.my

Mengharungi 1,200 kilometer dengan satu tangki penuh selalunya kedengaran mustahil, tetapi teknologi kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV)) membuka ruang baharu yang menjadikan misi jarak jauh ini semakin realistik.

Justeru, satu sesi pandu uji media untuk Chery Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV dianjurkan baru-baru ini bagi membuktikan sejauh mana SUV ini mampu pergi dengan kombinasi enjin petrol dan motor elektrik.

Konvoi bermula dari Kuala Lumpur sebelum merentasi Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, melengkapkan perjalanan tiga hari dua malam.

Seramai 15 wakil media permotoran menyertai cabaran ini, dengan setiap kenderaan berkongsi tiga pemandu semuanya berusaha mempraktikkan pemanduan berhemat demi mencapai jarak sasaran 1,200km.

Penulis diberi peluang memulakan peringkat awal menggunakan Tiggo 8 PHEV menuju ke Temerloh, sebelum tugasan pemanduan disambung rakan media lain dan perjalanan diteruskan menuju Kuantan untuk makan tengah hari sebelum menuju Kuala Terengganu dalam keadaan cuaca yang berubah-ubah antara hujan dan panas.

Pada hari pertama, perjalanan ditamatkan sekitar jam 8 malam dengan catatan penggunaan bahan api 4.4L/100km, baki petrol 806km, dan baki bateri sekitar 26 peratus cukup untuk mod elektrik sepanjang 463km pada fasa awal ini.

Untuk rekod, kedua-dua PHEV ini dilancarkan di Malaysia pada Oktober lalu sebagai model yang menyeimbangkan prestasi, jarak pemanduan dan penggunaan bahan api efisien.

Dibina atas platform Chery Super Hybrid (CSH), sistem ini menggabungkan tiga komponen utama iaitu enjin 1.5L Turbo Direct Injection (TGDi) dengan kecekapan tenaga haba 44.5 peratus, transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dan Bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 18.3 kWj.

Hasil gabungan ini membolehkan Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV mencapai jarak gabungan sehingga 1,200km selain mampu bergerak sekitar 90 km dalam EV Mode sepenuhnya adalah angka yang jarang ditawarkan SUV keluarga dalam pasaran.

Bateri LFP ini turut menyokong pengecasan pantas (DC) dengan 30 hingga 80 peratus penuh dalam 19 minit menggunakan pengecas 40kW. Untuk AC 6.6kW, pengecasan mengambil kira-kira tiga jam, dan pengecas rumah tiga-pin memerlukan sekitar lapan jam.

Kedua-dua model juga hadir dengan ciri Vehicle-to-Load (V2L), membolehkan pelbagai peralatan elektrik digunakan terus dari kereta sesuai untuk aktiviti outdoor atau situasi kecemasan.

Hari kedua membawa cabaran lebih teknikal, bermula dari Kuala Terengganu menuju Jeli, peserta melalui Lebuhraya Timur-Barat merentasi Banjaran Titiwangsa dalam hujan lebat dan laluan berbukit dengan selekoh tajam.

Selepas berhenti makan tengah hari di Royal Belum, perjalanan diteruskan sehingga tiba di Prai sekitar jam 6 petang dan hari kedua mencatat 427km, menjadikan jumlah keseluruhan 890km, dengan baki petrol masih cukup untuk 355km lagi.

Hari ketiga dimulakan menuju Ipoh sebelum kembali ke Bamboo Hills, Kuala Lumpur dan hampir semua peserta berjaya menamatkan jarak keseluruhan sekitar 1,240km, menepati sasaran ekspedisi ini.

Fokus utama pandu uji kali ini adalah bagaimana enjin petrol dan motor elektrik saling menyokong untuk memaksimumkan jarak dan laluan Jeli-Gerik yang mencabar benar-benar menguji kecekapan sistem hibrid ini, terutama ketika mendaki dalam keadaan hujan.

Walau mencabar, kedua-dua model kekal menawarkan tahap keselesaan premium dan Tiggo 8 PHEV hadir dengan skrin infotainmen 15.6 inci, tujuh tempat duduk, konsol tengah dengan pengecas tanpa wayar, sistem audio Sony 10 pembesar suara, 8 beg keselamatan, serta pakej ADAS lengkap.

Daripada segi harga, Tiggo 7 PHEV bermula sekitar RM149,800, manakala Tiggo 8 PHEV sekitar RM169,800 yang meletakkan kedua-duanya sebagai antara SUV hibrid paling kompetitif dalam kelasnya dari sudut ruang, spesifikasi dan teknologi elektrifikasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top