Israel dakwa bunuh ketua pengeluaran senjata Hamas

Israel dakwa bunuh ketua pengeluaran senjata Hamas

Baitulmaqdis: Israel mendakwa membunuh ketua pengeluaran senjata sayap ketenteraan Hamas, Raad Saad, dalam satu serangan di Semenanjung Gaza, semalam.

Tentera Israel berkata, hanya satu serangan dilakukan di kawasan berkenaan dan ia mengorbankan tokoh tertinggi Hamas itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz berkata dalam kenyataan bersama, serangan itu diarahkan sebagai tindak balas terhadap letupan alat letupan Hamas yang mencederakan pasukan Israel di Kawasan Kuning di Gaza.

Bagaimanapun, Netanyahu dan Katz menyifatkan, Raad sebagai salah seorang arkitek serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang di Gaza.

Susulan itu, tentera Israel berkata, Raad adalah ketua ibu pejabat pengeluaran senjata sayap ketenteraan Hamas yang mengetuai pembangunan kekuatan kumpulan itu.

Di bawah gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS), tentera Israel sudah berundur ke belakang Garisan Kuning namun masih menguasai lebih separuh wilayah Gaza.

Sementara itu, sumber keluarga mengesahkan kematiannya dan memaklumkan, pengebumian akan diadakan pada hari ini.

Agensi pertahanan awam dan sumber perubatan di wilayah Palestin yang ditadbir Hamas memaklumkan, serangan Israel itu membunuh lima orang di daerah Tel al-Hawa, barat daya Bandar Gaza.

Terdahulu, tentera rejim Zionis itu berkata, dua anggota simpanan tentera cedera ringan akibat alat letupan yang meletup semasa “operasi membersihkan infrastruktur pengganas” di selatan Gaza.

Dalam pada itu, jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal memaklumkan, lima orang terbunuh selepas sebuah kenderaan awam jenis jip disasarkan berhampiran bulatan Nabulsi di Tel al-Hawa.

Katanya, mayat yang hangus dibawa ke Hospital Al-Shifa selepas pesawat perang Israel menyasarkan kenderaan itu dengan tiga peluru berpandu sehingga menyebabkan ia terbakar dan musnah.

Tambah beliau, dua orang remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun turut terbunuh akibat tembakan Israel dalam dua insiden berasingan di Gaza.

Jabatan kecemasan hospital mengesahkan ketibaan lima mayat dan memaklumkan lebih 25 orang cedera dalam serangan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top