Kool FM lakar sejarah, bersiaran langsung dalam ETS3

Kool FM lakar sejarah, bersiaran langsung dalam ETS3

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kool FM mencipta sejarah dalam industri penyiaran radio tempatan apabila menjadi stesen radio pertama bersiaran secara langsung dari dalam perkhidmatan tren elektrik (ETS3) dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru pada Khamis lalu.

Inisiatif dinamakan Kool Ride ETS 3 itu dilaksanakan sempena peluasan siaran rasmi Kool FM ke negeri Selatan tanah air itu sekali gus berusaha mendekatkan stesen radio berkenaan dengan pendengar.

Selain menyampaikan pengalaman radio lebih dinamik dan relevan, usaha berkenaan turut memperkukuh hubungan dua hala antara Kool FM dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), khususnya dalam menyokong projek naik taraf infrastruktur rel yang memberi manfaat kepada rakyat.

Siaran luar istimewa itu bermula seawal jam 6 pagi dari Stesen KTMB Kuala Lumpur, serentak dengan pelepasan tren ETS 3 menuju ke Johor Bahru pada hari yang sama.

Program khas ini adalah hasil kerjasama strategik antara Kool FM dan KTMB, yang direalisasikan menerusi perancangan intensif dalam tempoh singkat dengan pembabitan penuh pasukan Konten, Digital, Kejuruteraan dan Pemasaran Kool FM.

Siaran terbabit merangkumi perjalanan sejauh kira-kira 330 kilometer, merentasi beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Johor, sebelum tiba di Johor Bahru pada jam 10 pagi.

Sepanjang perjalanan, pendengar disajikan dengan kandungan secara langsung dari dalam tren, termasuk lintasan khas, temu bual spontan serta sorakan sambutan kedatangan Kool FM ke Selatan tanah air.

“Dengan kehadiran Kool FM kini secara rasmi di Johor Bahru, ETS 3 menjadi platform terbaik untuk kami lebih dekat dengan komuniti dan pendengar di Selatan.

“Pelancaran ini bukan sekadar perjalanan dari satu bandar ke satu bandar, sebaliknya satu usaha membina hubungan dan membuka ruang cerita baharu bersama rakyat,” kata wakil Kool FM.

Penyampai Kool FM, Muaz Mohamed menyifatkan pengalaman bersiaran secara langsung dari dalam tren sebagai detik bersejarah dalam kerjayanya.

“Pengalaman ini sangat menarik. Kool FM berjaya ke Johor Bahru bersama Datuk Aznil Nawawi, Haiza dan saya sendiri. Kami bersiaran langsung selama empat jam di dalam tren.

“Ada cabaran sedikit, terutamanya dari segi kekangan talian di kawasan tertentu kerana melalui kawasan pedalaman, namun perasaan saya lebih kepada gembira dan teruja kerana dapat menjadi sebahagian daripada sejarah ini,” katanya.

Setibanya di Johor Bahru, pasukan Kool FM turut membuat liputan penuh Majlis Penyempurnaan dan Pelancaran Operasi Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

Majlis bersejarah itu diserikan dengan keberangkatan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail serta kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ketua Kandungan Kool FM, Ainul Farhana Razali berkata, pelancaran ETS3 hadir tepat pada masanya seiring dengan pengembangan siaran Kool FM ke Johor Bahru.

“Apabila kami dimaklumkan mengenai pelancaran ETS3 dan dalam masa sama Kool FM sudah berada di Johor Bahru, kami melihat ini sebagai peluang besar untuk menghubungkan diri dengan komuniti di Selatan.

“Berbekalkan semangat itu, kami menghubungi pihak KTMB dan menyuarakan hasrat untuk menjadi penyiar pertama yang bersiaran secara langsung dari dalam ETS3,” katanya.

Katanya, inisiatif berkenaan bukan sekadar siaran luar, sebaliknya satu langkah penting dalam membina hubungan lebih rapat dengan pendengar Kool FM di Johor serta meraikan perkembangan besar dalam sektor pengangkutan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top