Pelajar tahfiz maut, kereta dipandu bertembung lori sawit

Pelajar tahfiz maut, kereta dipandu bertembung lori sawit

am@hmetro.com.my

Pekan: Seorang al-Hafiz maut selepas kereta dipandunya bertembung lori muatan kelapa sawit di Kilometer 60 Jalan Pekan-Rompin, dekat Kampung Merchong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan berlaku pada 11 malam ketika mangsa Muhammad Fakhri Waqiuddin Basri, 22, dalam perjalanan dari arah Pekan ke Rompin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki lorong kanan.

“Kereta itu kemudiannya bertembung dengan lori dengan muatan kelapa sawit dari arah bertentangan,” katanya kenyataan.

Mohd Zaidi berkata, akibat kemalangan itu mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Zulfadli Zakaria berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi bergegas ke lokasi sebaik mendapat laporan mengenai kemalangan itu.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian bomba mendapati mangsa tersepit dalam kereta.

“Anggota bomba bertindak membawa keluar mangsa yang tersepit tetapi disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Mayatnya dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Difahamkan, Muhammad Fakhri Waqiuddin berasal dari Indera Mahkota, Kuantan, sudah menghafal 30 juzuk al-Quran dan sedang mengikuti Program Syahadah Al-Quran di Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top