Amira anggap peminat rezeki, tak harap anugerah semata

Amira anggap peminat rezeki, tak harap anugerah semata

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Amira Othman, 32, memaklumkan terharu dengan sokongan peminat yang dianggap satu rezeki sepanjang terbabit dalam dunia seni sejak 2013.

Isteri kepada pelakon Fattah Amin itu berkata, dia juga sebelum ini sama sekali tidak pernah terfikir mahupun menyedari mempunyai kelab peminat seperti selebriti lain.

“Memenangi atau tercalon dalam mana award (anugerah) jarang sekali saya terfikir sebab menyedari diri yang tak ada apa-apa pun. Ramai lagi (selebriti) hebat-hebat.

“Tapi melihat peminat, penyokong, fan club yang bersungguh-sungguh support (sokong) saya adalah satu rezeki yang tak mungkin mampu saya balas.

“Menang kalah adat pertandingan, tapi yang amat besar untuk saya adalah sokongan kalian semua sepanjang perjalanan saya dalam industri.

“Jatuh bangun susah senang, tidak ada apa-apa pun saya tanpa kalian. Pasti lah Allah yang menyusun semuanya. Terima kasih dari hati saya. Sayang semua,” luahnya pada hantaran dimuatnaik di Instagram (IG) yang disertakan dengan emoji hati berwarna putih.

Ucapan istimewa itu dibuat Amira untuk menghargai sokongan peminatnya selepas dia dicalonkan dan menghadiri acara kemuncak Anugerah Bintang Popular BH Ke-37 (ABPBH37) yang berlangsung Jumaat lalu.

Pada acara itu, Fattah berjaya merangkul dua trofi kemenangan iaitu Aktor Filem Popular dan Artis Kontroversi Popular.

Terdahulu, nama Amira menjadi perhatian ramai sejak dia mula mempunyai hubungan rapat dengan Fattah pada awal tahun ini dan mereka akhirnya bernikah pada 14 September lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top