Perlawanan pickleball eratkan silaturahim warga SPRM dan media

Perlawanan pickleball eratkan silaturahim warga SPRM dan media

mhafis@mediaprima.com.my

Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh hubungan strategik bersama pengamal media menerusi penganjuran program perlawanan pickleball hari ini.

Program kolaborasi itu menghimpunkan warga SPRM dari pelbagai bahagian bersama wakil media dengan matlamat mengeratkan silaturahim, selain mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, program hari ini lebih kepada acara santai dan beramah mesra dengan bahagian dalam SPRM dan pihak media.

Menurutnya, kolaborasi ini amat penting malah program ini bukan sahaja dari segi gaya hidup sihat tetapi juga lebih kepada macam hubungan baik antara media bersama SPRM.

“Kerjasama bersama media amat penting bukan sahaja dalam penyampaian maklumat berkaitan pencegahan rasuah, malah sebagai rakan strategik dalam membina kefahaman awam terhadap peranan agensi itu.

“Pendekatan santai melalui aktiviti riadah seperti ini membuka ruang interaksi dua hala yang lebih dekat dan berkesan,” katanya kepada pemberita selepas Program Battle Of Paddle: SPRM Selangor di Pickle Playground, Padang Jawa, di sini, hari ini.

Terdahulu SPRM bersama 10 wakil Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) membabitkan wartawan Harian Metro, Utusan Malaysia, TV3, Kosmo dan RTM menyertai perlawanan itu yang diadakan secara santai.

Perlawanan itu dimenangi Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM sementara wakil CiJA terkandas di peringkat separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top