Kuala Lumpur: Bekas wartawan sambilan BH, Mohd Ali Majid, 83, meninggal dunia akibat sakit tua, pada jam 5 petang tadi.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Siti Zaleha Ismail, 77, empat anak dan enam cucu.
Menurut anak sulung Allahyarham, Nor Azah Mohd Ali, 59, arwah bapanya sempat membaca surat khabar pagi tadi, sebelum mengalami sesak nafas.
“Arwah bapa memang sudah terlantar di katil akibat sakit tua. Tetapi sejak dua tiga hari lalu, dia kerap mengalami sesak nafas.
“Pada jam 4.20 petang tadi, dia alami sesak nafas, dan apabila kakitangan hospital datang, mereka mengesahkan arwah bapa meninggal dunia jam 5 petang,” katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.
Allahyarham yang berkhidmat sebagai tentera darat juga amat meminati bidang penulisan akhbar dan menjadi wartawan sambilan BH sejak tahun 80-an.
Jenazah akan dimandi, dikafankan di Surau Al-Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi dan dikebumikan sebelum selepas waktu Isyak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




