Jaringan lewat halang Milan

Jaringan lewat halang Milan

Milan: AC Milan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Sassuolo di San Siro, selepas jaringan lewat Armand Lauriente memastikan perebutan kejuaraan Serie A terus terbuka.

Milan yang kekal di puncak liga dengan 32 mata daripada 15 perlawanan kini hanya mendahului juara bertahan Napoli dengan satu mata, menjelang aksi Napoli menentang Udinese, manakala Sassuolo berada di tangga kesembilan dengan 21 mata.

Pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah seawal minit ke-13 apabila Andrea Pinamonti melakukan lorongan bijak sebelum Ismael Kone melepaskan cip cantik menewaskan penjaga gol Mike Maignan.

Milan menyamakan kedudukan sebelum rehat hasil gerakan kemas apabila Luka Modric menghantar hantaran tepat kepada Ruben Loftus Cheek, sebelum hantaran lintangnya disudahkan bek kiri berusia 19 tahun, Davide Bartesaghi, untuk gol sulungnya bersama kelab.

Bartesaghi sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-47 bagi meletakkan Milan di hadapan.

Namun kemenangan yang diimpikan Milan lebur pada minit ke-77 apabila Lauriente melepasi kawalan Fikayo Tomori sebelum meledak jaringan penyamaan untuk Sassuolo.

Keputusan itu menyaksikan Milan gagal melebarkan jurang di puncak liga ketika persaingan Serie A semakin sengit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top