am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Enam kru warga Indonesia berdepan detik cemas apabila bot tunda dinaiki mereka hanyut kira-kira lima jam akibat enjin rosak ketika dalam perjalanan dari Songkhla, Thailand ke Punggol, Singapura.
Mereka berjaya diselamatkan hari ini selepas bot terdampar di Pantai Kampung Tanjung Batu Rakit.
Tekong bot, Letaremon Simanjuntak, 33, berkata, mereka berlepas dari Thailand membawa muatan pasir sebelum bot itu mengalami masalah kira-kira jam 11 pagi akibat cuaca buruk.
“Kami cuba menghidupkan semula enjin namun gagal. Akhirnya bot hanyut dan terkandas kira-kira 4 petang,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, pihaknya mengambil masa lebih satu jam untuk menyelamatkan mangsa yang terkandas kira-kira 50 meter dari pesisir pantai.
Menurutnya, panggilan kecemasan diterima pada 5.05 petang dan seramai 11 anggota BBP Kuala Nerus dan BBP Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi.
“Operasi menyelamat berdepan cabaran berikutan keadaan ombak setinggi kira-kira 10 meter serta arus kuat. Anggota turut menyelamatkan tiga daripada mangsa yang terperangkap di dalam bot, sementara tiga lain berenang ke pesisir pantai,” katanya.
Katanya, penyelamatan itu turut menggunakan jengkaut untuk menarik bot tunda ke tepi pantai.
“Kesemua mangsa berusia antara 20 hingga 38 tahun selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya yang memaklumkan operasi turut disertai polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




