Shaffiq tegur jangan seronok jadi pembuli siber

Shaffiq tegur jangan seronok jadi pembuli siber

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelantun lagu Janjir, Shaffiq Erwin meluahkan rasa geram penuh kekecewaan terhadap peningkatan kes buli siber yang disifatkannya lebih berbahaya berbanding buli fizikal.

Shaffiq menegaskan masyarakat sering fokus kepada buli fizikal sehingga terlupa bahawa buli terutama di ruang siber mampu menjejaskan tahap mental seseorang individu.

“Saya benar-benar geram dengan tindakan buli siber ini. Ramai orang hanya memberi tumpuan kepada buli fizikal, sedangkan mereka lupa bahawa pada zaman sekarang, buli mental semakin berleluasa dan ia jauh lebih berbahaya kerana mampu membunuh seseorang dari dalam,” katanya.

Mengulas lanjut, Shaffiq mengingatkan setiap individu mempunyai kekuatan mental yang berbeza, justeru orang ramai dinasihati sentiasa berhati-hati apabila bercakap atau menulis komen di media sosial.

“Kita tidak pernah tahu bagaimana kata-kata kita diterima oleh orang lain. Mungkin pada luaran mereka kelihatan baik-baik sahaja.

“Hakikatnya, kata-kata itu umpama kuman yang perlahan-lahan memakan dari dalam, sedikit demi sedikit sehingga akhirnya mampu merosakkan kesihatan mental dan keyakinan diri seseorang,” katanya.

Bekas peserta Famili Duo 2 itu turut menyifatkan golongan pembuli siber ini seolah-olah berasa seronok apabila ‘komen pedas’ mereka mendapat perhatian netizen lain melalui tanda suka (likes) dan komen yang menyokong.

Shaffiq turut memberi amaran keras, tindakan itu biasanya tidak kekal lama, terutamanya apabila tindakan undang-undang diambil oleh mangsa.

Menurutnya, dia juga percaya tiada seorang yang sebelum ini memberi sokongan akan tampil mempertahankan apabila tindakan undang-undang diambil terhadap kaki buli.

“Semuanya kembali menyorok di sebalik papan kekunci. Pada saat itulah baru muncul permohonan maaf terbuka, rayuan simpati dengan alasan latar belakang keluarga yang susah dan pelbagai alasan lain.

“Persoalannya, di manakah keberanian mereka ketika menaip komen berbaur negatif pada awalnya? Nasihat saya, sebelum berkata-kata atau menulis apa-apa komen, jika anda merasakan ia boleh menyakiti atau mengguris perasaan seseorang, lebih baik simpan sahaja. Abaikan.

“Tidak perlu menyuarakan pendapat negatif hanya kerana mahu menjatuhkan atau merosakkan mental orang lain. Cukuplah jika hanya anda sendiri yang bermasalah mental,” katanya.

Shaffiq turut memuat naik hantaran mengenai perkara itu di Threads dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen di platform media sosial terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top