Kurang tidur, tekak kering rakam album pertama Junction

Kurang tidur, tekak kering rakam album pertama Junction

am@hmetro.com.my

DI SEBALIK CERITA

SIRI 2

Tawaran menjadi vokalis kumpulan Junction menjadi titik tolak karier Hatta terus berkembang untuk mempamerkan kemampuan diri selain mengharungi tahun paling sibuk sekitar 1987 hingga 1988.

Di Segamat ketika itu, kumpulan Burnmark menjadi pemangkin kerana mereka memberi tunjuk ajar, membuka peluang persembahan selain memperkenalkan Junction kepada penganjur.

“Burnmark ‘recommend’ (mencadangkan) kami jadi band pembukaan sempena sambutan kemerdekaan ke-30 di Melaka,” kata Hatta ketika menceritakan semula detik awal kumpulan berkenaan mencipta nama.

Bermula dari situ, Junction memberanikan diri menghadiri uji bakat di Kathy’s Lounge, Damansara Jaya yang pernah menampilkan Wings, Lefthanded, Search dan Ella & The Boys.

Selepas satu set persembahan, pemilik kelab dikenali sebagai Mr Tan terus menawarkan kontrak persembahan kepada Junction sebagai artis residen dan menjadi pengurus kepada kumpulan itu.

Hatta berkata, Mr Tan kemudian bertindak sebagai pengurus mereka dan menjemput beberapa penerbit terkenal untuk menilai persembahan Junction.

“Kami berjaya memikat hati Eric Yeo dari Polygram dan akhirnya mengikat kontrak bersama mereka pada Mac 1988.

“Junction berjaya menghasilkan album Arah (1988) yang dirakam di Lion Studio, Singapura, diikuti Penentuan (1989) dan Petualang (1990), semuanya terbitan Eric,” katanya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Rakaman album pertama berlangsung ketika Ramadan dengan tempoh hanya seminggu.

“Setiap hari saya perlu siapkan dua lagu. ‘Studio hours’ pun sangat ketat,” katanya.

Hillary Ang dipertanggungjawab sebagai pengarah muzik, manakala beberapa lagu balada menggunakan khidmat pemuzik ‘sessionist’ (undangan) bagi menjimatkan masa.

“Proses rakaman menguji mental dan fizikal. Kami kurang tidur, tekak kering dalam bilik berhawa dingin serta kekangan teknologi masa itu memaksa pengulangan rakaman berulang kali.

“Bila buat rakaman tak boleh main sekali lalu. Bila salah, kena ulang balik,” katanya.

Selesai rakaman album Arah, beberapa lagu dikatakan tidak melepasi tapisan kerana faktor teknikal dan lirik di mana pada masa sama, kempen kerajaan terhadap imej rock semakin ketat.

“Apa pun, album tetap laris,” kata Hatta yang popular dengan lagu Akan Ku Kenang, Demi Cinta Setia, Tak Mungkin Lagi, Monolog Untuk Rina dan Kisah Cinta Antara Kita.

Menurutnya, syarikat rakaman mengesahkan jualan album sulung mereka mendapatkan sambutan baik, sekali gus pendengar dapat menerima lagu dan kehadiran mereka.

Momentum terus meningkat apabila Junction pula menyertai Jelajah Kingsway di 13 lokasi bermula di Temerloh, kemudian Jerantut dan seterusnya ke seluruh negara.

Liputan media arus perdana turut membantu melonjakkan nama Junction, malah RTM juga menyiarkan promosi jelajah, manakala ruangan kelab peminat memuatkan jadual konsert dan surat pembaca.

“Seronok apabila kami menerima sambutan dan dewan penuh ketika mengadakan persembahan. Peminat sanggup simpan duit beli kaset dan tiket,” katanya.

Namun, di sebalik kejayaan itu tersimpan kisah getir. Hatta mendedahkan berlaku kekusutan berhubung urusan royalti dan pembayaran persembahan.

Hatta memilih untuk kekal profesional demi kelangsungan karier.

“Rumah sewa, makan minum, jadual semua bawah pengurusan. Tapi, soal hak karya dan royalti, itu yang paling mengajar kami,” katanya.

Menjelang hujung 1988, ketika persiapan album kedua mula dibayangkan, bibit pergeseran dalaman semakin ketara dan Hatta turut terbabit dalam album studio kedua, Penentuan yang berada di pasaran pada 1989.

Bagaimanapun, bagi album ketiga berjudul Petualang, Junction menggunakan khidmat vokalis baharu, Rashid berikutan kemelut yang melanda.

“Apabila ada yang mula faham nilai sebenar jualan dan jelajah, suara membantah makin kuat,” katanya.

Walau berdepan getir, tempoh 1987-1988 kekal sebagai era lonjakan populariti Junction daripada kelab malam ke label antarabangsa, daripada studio Singapura ke jelajah setiap negeri.

Ia membentuk jati diri band dan menandakan kemunculan Hatta sebagai wajah hadapan, sekali gus sebagai tanda band yang lahir daripada kerja keras, cabaran dan usaha gigih menghadapi industri seni muzik Malaysia.

Esok: Imbangi bidang seni bila pasaran muzik dilanda gelombang baharu

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top