am@hmetro.com.my
Melaka: “Ustaz, tolong doakan ayah saya sihat.”
Rayuan murid Muhammad Fateh Mohammad Pirdaus, 8, pada pagi Jumaat lalu itu menjadi kenangan terakhir apabila bapanya disahkan meninggal dunia pada petang hari yang sama.
Allahyarham Mohammad Pirdaus Mohd Salleh, 38, seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.17 petang, selepas dimasukkan ke Hospital Melaka kerana mengalami sesak nafas selepas bersarapan.
Guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Darul Qurro Ayer Keroh, Muhammad Al Afiz Yahya berkata, muridnya, Muhammad Fateh, memaklumkan keadaan bapanya yang demam dan dirawat di hospital ketika majlis Khatam al-Quran berlangsung.
“Pagi itu Fateh beritahu ayahnya sudah lima hari dirawat di hospital.
“Yang paling menyentuh perasaan apabila dia minta saya doakan ayahnya sihat dan semua rakan sekelas mengaminkan doa itu,” katanya.
Menurutnya, pada jam 11 pagi, ibu murid berkenaan menghubungi pihak sekolah memaklumkan suaminya tidak sedarkan diri sebelum berita kematian diterima pada petang Jumaat itu.
Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang bekerja sebagai pengasuh serta dua anak lelaki, Muhammad Fateh, 8, dan Muhammad Fakrullah, 6, murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Seri Jati Sungai Putat yang dijadualkan memasuki SRITI tahun depan.
Kata guru itu, arwah yang berasal dari Labuan, Sabah, dikenali sebagai seorang bapa yang sanggup melakukan pelbagai kerja demi memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan agama terbaik walaupun hidup sederhana.
“Paling menyayat hati, arwah bukan orang senang tapi semangatnya nak anak- anak dapat pendidikan terbaik itu yang kami kenang.
“Tak berhenti arwah buat macam-macam kerja untuk pastikan anak-anaknya dapat sekolah agama dan hafal al-Quran,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kecil, Paya Dalam pada malam itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




