Bantuan kembali ke sekolah bernilai RM120,000 kepada 600 pelajar

Bantuan kembali ke sekolah bernilai RM120,000 kepada 600 pelajar

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terus membuktikan keprihatinannya kepada masyarakat menerusi penyampaian bantuan asas kembali ke sekolah bernilai RM120,000 kepada 600 murid dan pelajar kurang berkemampuan termasuk orang kurang upaya (OKU) dari 30 buah sekolah sekitar ibu kota.

Inisiatif itu dijalankan hasil kerjasama Eco-Shop, peruncit barangan rumah mampu milik terkemuka di Malaysia, dengan sokongan Dewan

Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) menjelang pembukaan kalendar akademik 2026 tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed berkata, inisiatif itu adalah program tahunan YWP dan bertujuan meringankan beban ibu bapa khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah B40.

Menurut Abdul Basir, setiap penerima diberi baucar RM50 sumbangan Eco-Shop yang boleh ditebus untuk mendapatkan barangan sekolah di mana-mana cawangan premis itu di seluruh negara.

Beliau berkata, penerima juga diberi bantuan kewangan RM150 dari YWP dan DBKL, yang akan didepositkan ke akaun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah mereka.

“Matlamat inisiatif ini adalah untuk membantu menampung yuran PIBG murid dan lain-lain keperluan sukan serta kurikulum.

“Usaha ini adalah untuk memastikan murid sekolah tidak tercicir dan dapat memulakan tahun persekolahan mereka dengan keperluan lengkap dan keyakinan lebih baik.

“Pemilihan penerima layak dibuat JPWPKL yang menyalurkan maklumat kepada YWP jadi tidak timbul isu pilih kasih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bantuan yang diadakan di Mayor’s Courtyard, Rumah Tangsi, dekat sini.

Majlis itu disertai 150 pelajar sekolah rendah dan menengah serta guru pengiring dari 30 sekolah di ibu kota.

Hadir sama, Pengurus Pemasaran Eco-Shop, Stella Soon.

Abdul Basir berkata, inisiatif itu tidak akan berakhir di situ kerana ada kesinambungan dan lebih banyak program bermanfaat diatur pada masa akan datang.

“Setiap individu atau organisasi mempunyai peranan untuk dimainkan dalam memperkukuh komuniti dan menyokong generasi akan datang.

“Justeru, YWP mengharapkan kerjasama agensi kerajaan, syarikat korporat atau individu perseorangan untuk berganding bahu bagi menganjurkan program yang akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top