am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pendakwah bebas, PU Amin, 35, berpendapat isu kelas agama yang mengenakan bayaran mahal tidak wajar dipandang negatif semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dari sudut adab menuntut ilmu serta konteks penganjuran kelas terbabit.
PU Amin atau nama sebenarnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, dalam adab menuntut ilmu, pemberi ilmu tidak wajar menetapkan harga tetapi situasinya berbeza apabila membabitkan penyediaan fasiliti, keselesaan dan suasana pembelajaran yang kondusif.
“Adabnya, si pemberi ilmu tidak boleh meletakkan harga. Tetapi apabila ia membabitkan keadaan, fasiliti dan keselesaan, maka ada harga yang perlu dipatuhi.
“Persoalan utama ialah adakah ilmu itu hanya untuk golongan yang mampu atau turut sampai kepada mereka yang memerlukan?
“Bagi saya, ilmu tidak sepatutnya terhad kepada orang yang mampu sahaja,” katanya ketika ditemui pada program Cahaya Hati 2.0: Dari Luka Temui Cahaya yang berlangsung di Dewan Matrade di sini.
Mengulas lanjut, PU Amin mengakui pengalaman menghadiri pengajian agama berbayar buat pertama kali disifatkan sebagai sesuatu yang berbaloi kerana suasana itu membantu peserta memberi fokus sepenuhnya pada pengisian disampaikan.
“Saya suka persekitaran pengajian seperti ini. Orang datang dengan bayaran yang setimpal dengan nilai dan kualiti yang diterima sekali gus memberi aura baharu yang positif kepada proses pembelajaran.
“Konsepnya sama seperti kelas berenang atau kursus komputer. Kita membayar untuk keselesaan dan kemudahan. Malah, bayaran itu biasanya disertakan dengan pulangan seperti barangan atau keperluan peserta, bukan sekadar bayar kosong,” katanya.
Bagaimanapun, kata PU Amin, pendekatan berkenaan perlu dilaksanakan secara beretika dan tidak membuka ruang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan atas nama agama.
“Kalau digunakan secara positif, tidak mengapa. Cuma saya bimbang jika ada pihak yang menyalahgunakan kaedah ini. Sebaiknya, agama terus disampaikan dalam bentuk kebajikan,” katanya.
Ditanya mengenai isu menjual agama pula, kata PU Amin, pengajian agama berbayar tidak boleh disamakan dengan perbuatan menjual agama, sebaliknya lebih kepada menjual kualiti penyampaian dan pengalaman pembelajaran.
“Ini bukan menjual agama, tetapi menjual kualiti penyampaian dari segi suasana dan nilai tambah. Yang dianggap menjual agama ialah apabila berlaku penipuan, pengkhianatan dan penganiayaan terhadap orang ramai.
“Contohnya, meminta bayaran atau hadiah untuk selawat dan tahlil di media sosial. Itu tidak wajar dan boleh mengundang fitnah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




