sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Akademi Golf Olympia optimis mampu melahirkan 10,000 pemain menjelang 2030 dan daripada jumlah itu, seramai 100 pemain berstatus profesional akan membawa cabaran mewakili negara ke peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Olympia Education Malaysia, Datuk Seri Abdul Rani Osman berkata, dalam perancangan mereka bermula 2026 hingga 2030, pihaknya akan memberi fokus kepada satu cetusan nasional yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pendidikan, pengurusan kelab lestari, inovasi teknologi dan pelancongan golf.
“Kita sasarkan penyertaan seramai 10,000 pemain menjelang 2030, namun daripada jumlah itu, sekitar 100 akan dipilih dan dibentuk sebagai atlet yang benar-benar bersedia untuk bersaing di peringkat profesional dan mewakili negara.
“Ini bukan program jangka pendek kerana kita bermula dari akar umbi termasuk kanak-kanak sekolah, remaja dan pelajar universiti supaya bakat mereka dapat diasah secara berterusan sehingga ke tahap dunia,” katanya.
Selain itu, Olympia juga akan memberi keutamaan dari segi pelajaran agar pemain golf yang dibentuk nanti mempunyai pelbagai kelebihan dan bukan hanya fokus kepada sukan semata-mata.
“Kita melaksanakannya selari dengan teknologi dan inovasi. Kita menggunakan AI, manakala pelajar boleh belajar di mana sahaja, bukan setakat di padang golf tetapi juga di hadapan komputer riba dan televisyen.
“Ini sesuatu yang berbeza berbanding dahulu kerana kini kami lebih menekankan penggunaan simulator AI, selain program seperti edu-pelancongan, pertukaran pelajar serta program komuniti untuk membina ekosistem golf yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




