Maresca lebih fokus suku akhir Piala Liga lawan Cardiff

Maresca lebih fokus suku akhir Piala Liga lawan Cardiff

London: Pengurus Chelsea Enzo Maresca berkata, kenyataannya hujung minggu lalu mengenai ‘tempoh 48 jam paling teruk’ sejak menyertai kelab itu tidak memerlukan penjelasan lanjut, ketika pasukannya memberi tumpuan kepada perlawanan suku akhir Piala Liga menentang Cardiff City di tempat lawan pada awal pagi Rabu.

Selepas menang 2-0 di laman sendiri ke atas Everton dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu, Maresca berkata pemainnya berdepan minggu yang sukar, sambil menambah ‘ramai orang tidak menyokong’ mereka.

Apabila ditanya sama ada kenyataannya telah dijelaskan kepada pengurusan kelab, jurulatih berusia 45 tahun dari Itali itu berkata, beliau tidak perlu menambah apa-apa terhadap apa yang diperkatakannya.

“Saya boleh bercakap bahasa Itali, bahasa saya sendiri, Sepanyol dengan baik, Perancis dan Inggeris. Saya rasa saya jelas dengan apa saya katakan. Apabila saya mahu mengatakan sesuatu, saya agak jelas, saya sudah katakan apa yang saya katakan selepas perlawanan. Ia sudah selesai,” katanya kepada pemberita hari ini.

“Saya menghormati pandangan (media). Saya hormati pandangan orang ramai. Tetapi sekali lagi, saya tidak ada apa-apa untuk ditambah. Fokus saya adalah perlawanan esok, di mana kami boleh mencapai separuh akhir ketiga dalam tempoh 18 bulan sejak saya menyertai kelab ini.

“Kita hidup dalam era di mana semua orang boleh menyatakan pendapat mereka. Saya menghormati pandangan orang lain. Saya tidak ada apa-apa untuk ditambah. Fokus saya hanya pada perlawanan esok.”

Apabila ditanya sama ada beliau komited bersama Chelsea, Maresca menjawab, “Sudah tentu ya.”

Maresca membimbing Chelsea menjuarai Liga Konferensi Eropah dan Piala Dunia Kelab tahun ini. Namun, prestasi terkini mereka agak menurun apabila melalui empat perlawanan tanpa kemenangan sebelum menewaskan Everton.

Chelsea kini berada di tangga keempat liga, lapan mata di belakang pendahulu, Arsenal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top