ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beraksi lebih 70 minit dengan kekurangan seorang pemain, skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara tetap melawan habis-habisan sebelum akur tewas tipis 0-1 kepada tuan rumah Thailand pada aksi separuh akhir Sukan Sea 2025 di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.
Jaringan sepakan percuma Yotsakorn Burapha seawal minit kelapan sudah cukup untuk menamatkan impian skuad kendalian Nafuzi Zain ke pentas final, sekali gus menyaksikan kemarau pingat emas Malaysia di temasya dwitahunan itu terus berlanjutan.
Lebih mencabar, skuad negara terpaksa mengharungi baki perlawanan dengan 10 pemain selepas Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-16 susulan tindakannya menarik pemain Thailand, Iklas Sanron.
Namun, kekurangan seorang pemain tidak mematahkan semangat juang skuad B-23 yang kekal berdisiplin dan berani mencabar tuan rumah, malah beberapa kali menguji ketangkasan penjaga gol Thailand, Sorawat Phosaman.
Percubaan Haykal Danish Mohd Haizon dan Faris Danish Mohd Asrul pada minit ke-29 dan 32 hampir menghadirkan gol penyamaan, namun Sorawat bertindak cemerlang menafikan peluang berkenaan.
Di sebalik tekanan bertali arus Thailand dalam 20 minit terakhir, penjaga gol negara, Zulhilmi Sharani muncul benteng terakhir apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya termasuk rembatan deras Thanakrit Chotmuangpak pada minit ke-76.
Malaysia turut mencipta peluang di penghujung perlawanan, namun kegagalan penyudah menyaksikan Thailand mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia sekali lagi gagal ke final buat edisi keempat berturut-turut, dengan kali terakhir mara pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, manakala emas terakhir dimenangi pada Sukan Sea 2011 di Jakarta.
Skuad negara seterusnya akan menentang Filipina dalam aksi penentuan pingat gangsa, manakala Thailand bakal berdepan Vietnam dalam perlawanan akhir yang dijadual berlangsung Khamis ini di Stadium Rajamangala.
© New Straits Times Press (M) Bhd




