asrizal.aris@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menyedari peranan pengamal media sebagai perantara dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, Huawei Malaysia menganjurkan Hari Boling Media Bersama Huawei yang berlangsung di Berjaya Times Square, di sini, baru-baru ini.
Kejohanan disertai 29 pasukan membabitkan pelbagai organisasi media.
Huawei Malaysia dalam satu kenyataan berkata, sesi boling media ini adalah platform untuk membina keakraban dan tanda terima kasih kepada rakan-rakan media atas sokongan dalam memberi maklumat selama ini.
Katanya, perlawanan persahabatan itu juga sebagai medium untuk berhubung di luar kerja, bertukar idea dan mengukuhkan persahabatan dalam suasana yang menyeronokkan dan tidak formal.
Turut hadir dalam kejohanan itu Pengarah Lembaga Pengarah Huawei Malaysia, Ye Zhonghua, Naib Presiden Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia), Oliver Liu, Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Husain Jahit, Pengarang Berita Kanan HM, Abdul Manan A Samad dan Pengarang Berita New Straits Times (NST) Ahmad Najmuddin Ahmad Najib.
Pertandingan boling dua pusingan itu menyaksikan pasukan Metro Rangers daripada Harian Metro merangkul juara dengan membawa pulang barangan produk Huawei.
Sementara, naib juara dimenangi pasukan Astro Awani, dan ketiga menjadi milik pasukan VIP yang dianggotai oleh Husain Jahit, Ahmad Najmuddin dan Zuraimi Abdullah.
© New Straits Times Press (M) Bhd



