Wanita ditahan, cuba seludup keluar spesies gibbon

Wanita ditahan, cuba seludup keluar spesies gibbon

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Sepang: Cubaan menyeludup hidupan liar spesies terancam ke luar negara digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (AKPS KLIA) dalam pemeriksaan bagasi di KLIA Terminal 1, semalam.

AKPS KLIA dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan ke atas bagasi itu dijalankan kira-kira 8 malam membabitkan penumpang penerbangan ke Mumbai, India yang dijadual berlepas pada 7.50 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati dua ekor hidupan liar yang disyaki spesies Hylobates spp (Gibbon) ditemui di dalam bagasi milik seorang penumpang wanita warganegara Malaysia.

“Susulan penemuan itu, wanita terbabit yang berumur 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Anggaran nilai sitaan bagi hidupan liar berkenaan adalah sebanyak RM6,000.

“Individu terbabit kemudiannya dibawa ke Balai Polis Aeropolis dan satu laporan polis telah dibuat bagi tujuan siasatan lanjut,” kata kenyataan itu, hari ini.

AKPS KLIA berkata, kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

“Kesemua hidupan liar yang disita telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) KLIA untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, AKPS menegaskan akan terus memperketatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di semua pintu masuk dan keluar negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan, khususnya melibatkan hidupan liar yang dilindungi, demi memelihara khazanah biodiversiti negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top