ajohari@bh.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu isu utama dalam permohonan semakan kehakiman BERSATU berhubung pembekuan dan penyitaan dua akaun bank miliknya, adalah sama dengan isu dalam kes jenayah yang dihadapi oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan yang mewakili Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika membalas hujahan peguam BERSATU berkata, oleh itu isu terbabit hendaklah diputuskan oleh mahkamah jenayah.
Nurhafizza berkata, wujud kaitan antara pertuduhan terhadap Muhyiddin dan parti itu kerana beliau didakwa dalam kapasiti sebagai Presiden BERSATU.
“Isu berkaitan pertuduhan pula bukan terhadap parti BERSATU, sebaliknya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi. Maka, isu ini perlu dihujahkan di mahkamah jenayah dan bukan melalui prosiding semakan kehakiman ini.
“Perintah penyitaan belum luput kerana tuduhan terhadap Muhyiddin mengatasi perintah penyitaan sehingga dan melainkan suatu penghakiman muktamad dibuat dalam kes berkenaan,” katanya.
Terdahulu peguam Chetan Jethwani berhujah, dua akaun bank BERSATU masih tidak dapat diakses sehingga hari ini walaupun notis penyitaan oleh SPRM yang dikeluarkan pada 11 April 2024 telah lama luput.
Beliau berkata, tempoh siasatan selama 12 bulan yang diperuntukkan di bawah undang-undang anti-pengubahan wang haram luput pada Januari tahun lalu.
Katanya, akaun berkenaan, masing-masing di AmBank dan CIMB Islamic Bank sepatutnya dipulangkan kepada parti.
“Kesemua pertuduhan adalah terhadap Tan Sri (Muhyiddin), bukan terhadap BERSATU dan memang tidak boleh terhadap BERSATU. Kebenaran Peguam Negara (untuk mendakwa) adalah terhadap beliau,” katanya.
SPRM telah membekukan dua akaun bank BERSATU pada Januari 2023 sebelum menyitanya pada April 2023, selepas Muhyiddin didakwa sebulan sebelumnya.
Chetan berhujah, perintah penyitaan yang tidak sah itu telah luput pada Januari tahun lalu.
Beliau berkata, Seksyen 52A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) memperuntukkan had masa sekiranya orang yang terhadapnya perintah itu dibuat, tidak didakwa atas suatu kesalahan di bawah akta terbabit.
“Namun, daripada melepaskan akaun bank itu kepada BERSATU, SPRM terus secara salah menafikan akses BERSATU kepada akaun banknya,” katanya.
Pada 30 Oktober 2023, mahkamah membenarkan BERSATU memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM membekukan dua akaunnya.
Pada 29 Mei 2023, Kapt (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam BERSATU memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman berkenaan.
Beliau menamakan Peguam Negara (ketika itu) Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.
BERSATU mendakwa pada 19 April 2023, akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta AMLATFPUAA 2001.
Pendengaran di hadapan Hakim Datuk Aliza Sulaiman bersambung 13 Februari ini
© New Straits Times Press (M) Bhd



