rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Isu ketiadaan kemudahan klinik kesihatan di Bandar Puncak Alam di sini sudah dibangkitkan sejak lebih lima tahun lalu dan belum ada penyelesaian sehingga kini.
Perkara itu diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan yang sering mendengar keluhan penduduk dan sudah membawa isu itu kepada pengetahuan kerajaan.
Beliau berkata, isu berkenaan sememangnya menjadi agenda utama dan ditekankan beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi kemudahan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, pembinaan klinik kesihatan adalah di bawah Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tahun ini saja sudah dua kali saya bangkitkan dalam sidang DUN. Berdasarkan jawapan diterima, tiada perancangan untuk mendirikan klinik kesihatan di Puncak Alam.
“Namun saya turut mendapatkan maklum balas Pejabat Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
“Selepas itu pejabat menteri menghubungi saya memberitahu kementerian akan mendirikan klinik kesihatan di kawasan berkenaan.
“Malah, saya dimaklumkan pihak terbabit juga sudah turun melihat lokasi untuk pembangunan fasiliti itu di sebuah bangunan perniagaan Puncak Alam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Semalam, Harian Metro melaporkan penduduk Bandar Puncak Alam di sini, menuntut supaya kemudahan klinik kesihatan yang dirancang diwujudkan sejak tahun lalu, disegerakan.
Penyediaan prasarana asas itu penting untuk menampung keperluan perubatan kira-kira 200,000 penduduk di lebih 40 taman perumahan di situ.
Ketika ini cuma ada klinik komuniti dan ibu mengandung yang terletak di salah satu taman perumahan namun ia tidak lagi dapat menampung jumlah penduduk yang semakin ramai.
Justeru, beliau memohon kerjasama Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Menteri Kesihatan membantu menyelesaikan isu kemudahan kesihatan di kawasan itu.
Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan penjelasan Dr Dzulkefly masih belum berhasil.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan dilapor merancang pembinaan klinik kesihatan baharu bagi memenuhi keperluan lebih 200,000 penduduk di Bandar Puncak Alam, yang tiada kemudahan itu sejak sekian lama.
Menterinya Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, pembinaan klinik kategori dua itu dicadangkan pihaknya di sekitar kawasan Desa Coalfields.
Beliau dipetik berkata, tapak klinik itu juga sudah dikenal pasti dan bangunan berkenaan dapat menampung antara 800 hingga 1,000 pesakit sehari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




