'Hanya Tuhan tahu perasaan saya' – Wira Bondi mohon dari katil hospital

'Hanya Tuhan tahu perasaan saya' – Wira Bondi mohon dari katil hospital

Sydney: “Apa yang boleh saya katakan? Saya melalui masa yang sangat sukar, hanya Tuhan sahaja tahu,” kata Ahmed Al Ahmed dari katil hospital, selepas aksinya merampas senjata seorang suspek penyerang dalam serangan antisemitik di Pantai Bondi, Australia, mendapat pujian dunia.

Memetik Global News, Ahmed, 43, meminta orang ramai mendoakan dirinya dan menyampaikan mesej positif kepada rakyat Australia di tengah tragedi yang berlaku.

Video bapa kepada dua anak perempuan dan warga Australia kelahiran Syria itu dirakam berlari ke arah seorang suspek penyerang bersenjata dan bergelut dengannya ketika tembakan dilepaskan.

Rakaman tular menunjukkan Ahmed berlindung di belakang sebuah kereta sebelum merampas senjata daripada tangan suspek dan mengacukannya kembali, memaksa penyerang berundur.

Ahmed kemudian ditembak beberapa kali oleh pelaku kedua dan menjalani pembedahan di sebuah hospital di Sydney, lapor Reuters pada Isnin.

Difahamkan, Ahmed ditembak di bahu kiri dan tangan serta berdepan tempoh pemulihan sehingga enam bulan.

Dalam pada itu, bapanya, Mohamed Fateh al Ahmed berkata, anaknya adalah seorang wira yang pernah berkhidmat dalam pasukan polis dan mempunyai semangat untuk mempertahankan orang ramai.

“Apabila dia melihat orang ramai terbaring di atas tanah dan berdarah dengan pantas suara hatinya mendorong untuk menyerang salah seorang pengganas serta merampas senjatanya.

“Dia tidak memikirkan latar belakang orang yang diselamatkannya, orang yang mati di jalanan… dia tidak membezakan antara satu kewarganegaraan dengan kewarganegaraan yang lain,” katanya.

Memetik SBS News pula, sepupunya, Mustafa Al-Asaad berkata, Ahmed memberitahu bahawa Tuhan mengurniakannya keberanian untuk ‘menerkam’ ke arah penyerang bersenjata terbabit.

Terdahulu, media melaporkan, serangan itu menyasarkan orang ramai yang berkumpul bagi sambutan Hanukkah di pantai berkenaan, mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan ramai yang lain.

Seorang suspek, Naveed Akram, 24, ditahan polis manakala seorang lagi suspek yang juga bapanya, Sajid, 50, maut.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, memuji tindakan Ahmed dan berkata, keberaniannya menyelamatkan banyak nyawa.

“Apa yang kita saksikan dalam tempoh 24 jam lalu adalah sisi terburuk kemanusiaan dalam satu tindakan keganasan.

“Namun, kita juga melihat contoh terbaik kemanusiaan apabila Ahmed berlari ke arah bahaya, mempertaruhkan nyawanya sendiri,” katanya kepada pemberita.

Media sama turut melaporkan, satu kutipan dana dalam talian untuk Ahmed mengumpul lebih AUD1.7 juta (kira-kira RM4.62 juta) dengan lebih 30,000 sumbangan dari seluruh dunia.

Kutipan dana itu diwujudkan oleh Car Hub Australia dan YouTuber, Zachery Dereniowski sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian Ahmed.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top