Ia tidak muncul di laman utama. Tidak tular di garis masa. Tidak datang dengan amaran.
Namun setiap hari, bahan penderaan seksual kanak-kanak bergerak senyap di ruang digital. Disunting, disembunyikan dan dipindahkan dari satu ruang tertutup ke ruang yang lain, sementara dunia dewasa terus percaya semuanya masih terkawal.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perbincangan tentang keselamatan digital sering tertumpu kepada penipuan kewangan, online scam dan kebocoran data.
Namun di sebalik fokus tersebut, wujud satu ancaman yang jauh lebih senyap dan memberi kesan jangka panjang iaitu eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian.
Ancaman ini tidak datang dalam bentuk mesej terang-terangan atau iklan terbuka. Ia bergerak melalui rangkaian kecil, komuniti tertutup dan hubungan kepercayaan yang dibina secara perlahan, khususnya terhadap kanak-kanak dan remaja yang masih mencari identiti serta sokongan emosi.
Dalam banyak kes, dunia siber menjadi ruang pertama kanak-kanak berinteraksi tanpa pengawasan langsung orang dewasa. Telefon pintar, tablet dan komputer riba membuka pintu kepada dunia luas yang tidak semuanya selamat, terutamanya apabila akses berlaku secara peribadi dan berterusan.
Peralihan tingkah laku digital ini mengubah bentuk risiko. Eksploitasi yang suatu ketika dahulu memerlukan pertemuan fizikal kini boleh berlaku melalui mesej, imej dan panggilan video, tanpa meninggalkan kesan yang mudah dikesan.
Menurut perunding keselamatan dan pertahanan diri, Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir, isu CSAM sebenarnya sudah lama berakar, namun kesedaran masyarakat datang terlalu perlahan.

Beliau yang juga Exco Pertubuhan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur (KLCPPA) berkata, ramai masih tersilap membaca skala sebenar ancaman ini.
“Sebenarnya isu CSAM – Child Sexual Abuse Material seperti pornografi kanak-kanak memang menjadi isu dah lama. Sejak 2018 lagi. Tapi masa itu mungkin ramai yang masih beranggapan masih terkawal atau boleh kawal,” katanya.
Dalam realiti hari ini, CSAM jarang muncul secara terang-terangan. Kandungan berbahaya ini sering disembunyikan melalui visual yang diubah suai dengan suntingan kecil pada imej atau video yang cukup untuk mengelirukan sistem saringan automatik platform digital.
Lebih membimbangkan, CSAM banyak beredar dalam kumpulan tertutup. Akses terhad melalui jemputan, kelulusan ahli atau ruang persendirian menjadikan kandungan ini hampir tidak kelihatan kepada pemantauan awam, kata Saiful Hamiruzzaman.
Apa yang lebih merisaukan, semua ini bukan sekadar gambaran teori. Corak penyebaran senyap ini telah pun dizahirkan melalui tindakan penguatkuasaan, mendedahkan skala sebenar ancaman yang selama ini tidak kelihatan di ruang awam.
Antara 23 hingga 30 September 2025, satu operasi nasional bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dijalankan di seluruh negara.
Operasi tersebut membawa kepada 31 tangkapan di 37 lokasi berbeza, dengan penemuan lebih 880,000 fail berkaitan CSAM. Ini satu angka yang mencerminkan kandungan yang telah lama beredar tanpa disedari masyarakat umum.

Siasatan mengesahkan penggunaan perkhidmatan pemesejan, rangkaian berasaskan platform digital serta saluran web gelap, menjadikan pergerakan kandungan ini sukar dikesan secara konvensional.
Lebih membimbangkan, transaksi berkaitan aktiviti ini didapati dijalankan melalui sistem pembayaran tanpa tunai, memudahkan urusan tanpa perlu pertemuan fizikal dan sekali gus mengurangkan risiko pengesanan.
“CSAM sering terlepas daripada pengesanan semasa muat naik kerana kandungan tersebut diubah suai supaya tidak sepadan dengan sistem saringan automatik,” jelas Saiful Hamiruzzaman.
Beliau berkata, penyulitan, format fail tertentu dan perkongsian dalam ruang tertutup menambahkan lagi kesukaran untuk pengesanan masa nyata, membolehkan kandungan tersebar sebelum tindakan diambil.
Kebergantungan kepada laporan pengguna pula menjadikan kandungan baharu tidak dapat dikesan serta-merta. Dalam tempoh itu, bahan yang sama boleh dikongsi, disalin dan dipindahkan ke platform lain.
Justeru kata Saiful Hamiruzzaman, perlindungan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun menjadi keutamaan kerana golongan ini paling terdedah kepada manipulasi dan eksploitasi.
“Mereka mudah mempercayai orang lain, sukar mengenal pasti niat buruk serta kurang pengalaman untuk melindungi diri, terutamanya dalam persekitaran dunia siber,” katanya.
Saiful Hamiruzzaman menjelaskan bahawa ambang umur 16 tahun diperkenalkan kerana pada usia ini, remaja dianggap lebih matang dari segi pemikiran dan pertimbangan untuk menilai risiko dan membuat keputusan yang lebih selamat dalam talian.
Seiring dengan tahap kematangan ini, kerajaan turut mencadangkan pelaksanaan had umur minimum penggunaan media sosial pada usia 16 tahun sebagai lapisan perlindungan awal, bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya dan individu berisiko sebelum mereka benar-benar bersedia menghadapi interaksi digital yang kompleks.

Dalam masa yang sama, tanggungjawab penyedia platform menjadi semakin besar. Platform bukan sekadar medium, tetapi pentadbir yang mengawal akses, muat naik dan perkongsian kandungan.
“Jika tindakan penguatkuasaan lemah atau lambat, CSAM boleh terus diedarkan semula tanpa halangan. Sebaliknya, penguatkuasaan yang tegas, pantas dan konsisten dapat menyekat penyebaran awal dan memutuskan rantaian pengedaran,” katanya.
Pengalaman peribadi Saiful Hamiruzzaman dalam isu ini bermula lebih awal. Sejak 2014, beliau aktif berkongsi kesedaran mengenai Child Sexual Exploitation (CSE).
“Seingat saya sejak 2014 saya kerap berkongsi berkenaan CSE yang kalau tak kawal akan berleluasa isu cybersex, sexting, sextortion dan lebih serius online rape,” katanya.
Tambah beliau, beberapa negara telah mengambil pendekatan berbeza seperti Australia yang menekankan penguatkuasaan tegas dan pencegahan awal melalui kawalan umur bawah 16 tahun serta kuasa notis pantas, manakala Jerman memberi tumpuan kepada keseimbangan antara keselamatan kanak-kanak dan perlindungan privasi.
Dalam ekosistem digital yang bergerak pantas, setiap kelewatan, kelompongan dan sikap sambil lewa membuka ruang kepada penderaan yang tidak kelihatan, tetapi nyata kesannya kepada mangsa.
Di sebalik kemajuan teknologi, persoalan sebenar bukan lagi sama ada sistem mampu mengesan kandungan berbahaya. Persoalannya ialah sama ada kita sanggup bertindak lebih awal, lebih tegas dan lebih konsisten sebelum kanak-kanak terus menjadi mangsa senyap dalam dunia yang kita anggap selamat.



