'Saya nak pergi hospital sakit jiwa' – Tertuduh kes tetak siak

'Saya nak pergi hospital sakit jiwa' – Tertuduh kes tetak siak

am@hmetro.com.my

Taiping: “Saya nak pergi hospital sakit jiwa.” Demikian kata seorang lelaki sewaktu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dakwaan menetak siak surau menggunakan parang di Kamunting, 10 Disember lalu.

Tertuduh, Kamarulzaman Kamarudin, 55, yang juga duda tiga anak memahami pertuduhan namun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Noor Sakinah Haroon Arashid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Normuda Mod Noor, 68, dengan menggunakan sebilah parang di Surau Nurul Hidayah, Jalan Bukit Jana, Kamunting, dalam daerah Larut, Matang dan Selama, jam 2.30 petang, 10 Disember lalu.

Ia kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun denda atau sebat.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad.

Nur Syuhada menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati mangsa selain melapor diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

Ketika mitigasi, Puteri Hikmatul memaklumkan bahawa tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan RM50 sehari dan sudah bercerai, selain turut difahamkan tertuduh sudah tiga kali dirujuk ke hospital psikiatri.

“Dia (tertuduh) mohon dirujuk ke hospital sementara menunggu tarikh (sebutan) akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah diberitahu bahawa surat rawatan psikiatri tertuduh tidak disertakan dalam kertas siasatan pihak polis.

Puteri Hikmatul justeru memohon jumlah jaminan diturunkan kepada RM2,000, namun Nur Syuhada memohon jumlah yang setimpal kerana mengambil kira kes tetak itu mendapat publisiti meluas dalam kalangan orang awam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang tidak ditemani ahli keluarga dalam prosiding hari ini, dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan,

Mahkamah turut menetapkan 29 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang siak surau parah selepas ditetak berulang kali pada kepala dan tangan oleh seorang lelaki bersenjatakan parang di Surau Nurul Hidayah, Kampung Bukit Jana, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top