georgie@hmetro.com.my
Subang Jaya : Pelakon Hariz Hamdan belum sempat berjumpa atau bertanya khabar kepada aktivis kemanusiaan Hazwani Helmi yang dikritik ramai baru-baru ini kerana menggunakan telefon pintar iPhone.
Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 23, bagaimanapun berpendapat bahawa tiada siapa-siapa patut menghukum kesalahan seseorang selain Tuhan.
“Untuk menghubunginya buat masa sekarang belum lagi sebab saya tengah sibuk ‘shooting’ dan lain-lain. Tak sempat nak ‘catch up’ dengan Hazwani. Saya ada jugalah terdengar mengenai perkara itu.
“Bagi saya, saya tak salahkan siapa-siapa. Benar, di mata sesetengah orang, perkara itu salah. Tapi siapa kita untuk menyalahkan orang,” katanya ditemui di Perlawanan Pickleball The Power Play 2025, di sini, semalam.
Terdahulu, aksi Hazwani merakam video ketika malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) mencuri perhatian ramai apabila netizen mempersoalkan penggunaan telefon pintar iPhone oleh aktivis Global Sumud Flotilla itu yang didakwa mempunyai kaitan dengan sumbangan dana kepada Israel.
Sementara itu, Hariz dan Hazwani menarik perhatian peminat selepas bergandingan dalam drama Iqbal. Keserasian mereka disenangi ramai hingga ada yang mengusik untuk satukan mereka.
Menurutnya, dia maklum ramai yang cuba jodohkan mereka dan tidak salahkan sesiapa pun.
Baginya, dia menyenangi Hazwani sebagai rakan sekerja dan tidak lebih daripada itu.
Bagaimanapun, Hariz tidak pernah menolak pasal ketentuan jodoh dan mengakui Hazwani pun memang ada ciri-ciri wanita yang dia idamkan.
“Jodoh itu di ketentuan Allah, siapa saya untuk menentukan jodoh saya dan siapa orang lain tentukan jodoh Hazwani? Boleh saja kalau kita nak doakan yang baik-baik.
“Secara jujurnya, semestinya Hazwani ada juga ciri-ciri wanita idaman saya dan seorang yang sangat menepati kriteria untuk menjadi seorang isteri. Tetapi saya percaya ramai juga beranggapan begitu dan bukan saya saja.
“Contohnya mungkin selepas ini, Hazwani berlakon dengan hero lain dan hero tu pun anggap macam itu juga. Dia memang peribadinya sempurna dan juga Haris suka akhlak dia,” katanya.
Disebabkan drama Iqbal, ramai yang menyukai gandingan mereka dan mengusik Hariz agar segera menghantar rombongan untuk meminang Hazwani yang dianggap sepadan dengannya itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




