sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia bakal beraksi dalam dua final pingat emas Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) pada Sukan Sea Thailand selepas skuad wanita mara ke perlawanan akhir di Universiti Chulalongkorn, Bangkok, hari ini.
Skuad lelaki terlebih dahulu mengesahkan tempat ke final semalam dan dijadual menentang Filipina esok.
Pasukan wanita negara menampilkan aksi dominan apabila membenam Myanmar 3-0 pada separuh akhir untuk mara ke final buat kali pertama sejak acara wanita diperkenalkan pada Sukan Sea edisi 2023 di Phnom Penh.
Kejayaan itu sekurang-kurangnya menjamin pingat perak, sekali gus memperbaiki pencapaian gangsa yang dimenangi dua tahun lalu, namun sasaran utama pasukan kekal emas.
Kapten pasukan, Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi berkata, persiapan kali ini jauh lebih tersusun berbanding edisi lalu, sekali gus membantu pemain memberi tumpuan penuh bagi melangkah ke tahap terakhir.
“Berbanding Sukan Sea lalu, persiapan kami lebih teratur,” kata Sharifah Alia pada sidang media selepas perlawanan secara dalam talian.
“Jadi kami memang 100 peratus akan membawa pulang pingat emas.”
Malaysia sebelum ini seri dengan Myanmar pada peringkat kumpulan, namun berjaya mempamerkan persembahan bertenaga ketika aksi separuh akhir.
Barisan kejurulatihan menyifatkan perubahan itu hasil keupayaan pasukan mengenal pasti kelemahan dengan pantas selain melakukan reset mental sebelum aksi kalah mati.
“Saya rasa faktor utama adalah mentaliti,” kata penolong jurulatih, Kelvin Unting.
“Pada hari pertama, kami tewas satu permainan kepada Myanmar dalam perlawanan kedua, kemudian kami kenal pasti masalah yang perlu dielakkan. Akhirnya kami lebih cepat reset berbanding lawan dan itu faktor utama bagi saya.”
Ketua jurulatih, Farhan Ibrahim pula berkata kemenangan separuh akhir mencerminkan keyakinan pasukan yang semakin meningkat apabila pemain beraksi atas semangat mewakili negara, bukan kelab masing-masing.
“Apabila melangkah ke pentas final, mentaliti kami adalah membawa pulang emas untuk Malaysia,” kata beliau.
“Kami berjuang bukan untuk kelab, bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk Malaysia dan itu memberi semangat serta keyakinan kepada pasukan.”
Pemain gold lane, Queenie Lim yang bertukar peranan sepanjang kempen mengakui perjalanan pasukan ke final melebihi jangkaan, terutama dengan tempoh persiapan singkat sebagai satu pasukan.
“Saya sangat gembira dan tidak jangka kami boleh mara ke final kerana saya bertukar peranan,” katanya.
“Kami berlatih bersama kurang dua minggu, jadi untuk mara ke final memang sesuatu yang sangat tidak dijangka.”
Pasukan wanita negara akan menentang Filipina pada perlawanan akhir esok selepas pasukan itu menyingkirkan juara bertahan, Indonesia 3-1 pada satu lagi aksi separuh akhir.
Sharifah Alia turut mengirim mesej penuh keyakinan kepada lawan di final.
“Semoga berjaya berdepan saya di final. Awak sudah tewas kepada saya di Esports World Cup!”
© New Straits Times Press (M) Bhd



