Joe Ee tutup karier Sukan Sea dengan penuh maruah

Joe Ee tutup karier Sukan Sea dengan penuh maruah

sukan@hmetro.com.my

Bangkok: Ng Joe Ee sudah memberi amaran kepada wartawan sebelum sesi temu bual bahawa dia mahu mengelak soalan-soalan tertentu kerana tidak mahu menangis di hadapan umum, namun ketika melangkah ke podium buat kali terakhir pada Sukan Sea 2025, rasa bangga tetap menguasai diri atlet itu.

Pada Sukan Sea edisi ke-33, gimnas gimrama berusia 20 tahun itu menutup bab kompetitif kariernya dengan keyakinan bahawa dia sudah memberikan segala-galanya kepada rutin, rakan sepasukan dan sukan gimnastik Malaysia.

Sehari selepas membantu skuad negara merampas kembali emas acara berpasukan, Joe Ee kembali ke gelanggang di Universiti Thammasat Rangsit hari ini untuk acara individu, beraksi dalam keadaan menahan kesakitan, tekanan serta kesedaran bahawa ini adalah penampilan terakhirnya di temasya dwitahunan itu.

Persembahannya mencerminkan gabungan kualiti dan perjuangan.

Dia mencatat 26.60 mata dalam acara belantan, diikuti bola (25.26), riben (25.03) dan gelung (20.00) yang terjejas akibat kesilapan awal serta penalti.

Perbezaan mata sangat tipis dan dalam sukan subjektif serta tidak berkompromi seperti gimnastik, segalanya ditentukan oleh pecahan kecil mata.

“Saya percaya kami sudah melakukan yang terbaik. Mata yang diperoleh tidak seperti yang kami jangkakan, tetapi kami sudah mempamerkan aksi terbaik. Soal adil atau tidak, kami serahkan kepada juri,” katanya.

Joe Ee mengakui tekanan kerana mengetahui ia adalah penampilan terakhirnya di Sukan Sea memberi kesan kepada prestasi.

Terjatuh peralatan pada awal pertandingan memaksanya untuk bangkit dari segi mental sekadar untuk kekal bersaing, sesuatu yang dilakukannya dengan tenang meskipun usianya masih muda.

“Saya asyik fikir ini adalah yang terakhir,” katanya.

“Saya mahu semuanya sempurna, tetapi itu yang menyebabkan saya tertekan.”

Bagaimanapun, meskipun podium individu terlepas, legasinya tetap utuh.

Hari ini, Joe Ee memainkan peranan penting dalam kejayaan skuad negara memenangi emas acara berpasukan, keputusan yang mengesahkan dominasi Malaysia dalam disiplin itu dan menghadiahkannya satu lagi detik manis di puncak podium Sukan Sea.

Ia menjadi noktah sempurna kepada karier yang dibina atas pengorbanan.

Joe Ee mendedahkan dia menjalani latihan dalam keadaan menanggung sakit belakang berpanjangan, masalah leher serta kecederaan buku lali kiri, kesan daripada bertahun-tahun bersaing di peringkat elit dengan jadual yang padat.

“Badan saya sudah tidak mampu menanggungnya lagi,” katanya jujur.

Joe Ee mengesahkan dia akan mengundurkan diri daripada pertandingan elit dan memberi tumpuan kepada bidang kejurulatihan di peringkat kelab di Malaysia, berkongsi pengalaman yang dibentuk melalui kejayaan, kekecewaan dan disiplin.

Dalam acara keseluruhan individu gimrama, Joe Ee menamatkan saingan di tempat ketiga dengan jumlah keseluruhan 96.890 mata. Pingat emas dimenangi Jasmine Althea Ramilo dari Filipina dengan 102.180 mata, manakala perak milik wakil Singapura, Mikayla Angeline Yang yang mengumpul 101.490 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top