Kewarganegaraan bukan jaminan wakili Harimau Malaya

Kewarganegaraan bukan jaminan wakili Harimau Malaya

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Bebas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan walaupun tujuh pemain negara sudah diberikan kerakyatan negara ini, namun tonggak berkenaan tetap tidak memenuhi peraturan di bawah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk membolehkan mereka beraksi untuk skuad Harimau Malaya.

Menurut jawatankuasa itu, status kewarganegaraan tidak secara automatik melayakkan seseorang mewakili pasukan kebangsaan di bawah peraturan FIFA, yang memerlukan bukti pertalian biologi seperti ibu bapa atau datuk dan nenek yang dilahirkan di negara berkenaan.

“Jawatankuasa ini mendapati FAM mengemukakan rekod yang mendakwa datuk dan nenek pemain berkenaan dilahirkan di Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak, namun siasatan FIFA kemudiannya mengesahkan bahawa datuk dan nenek mereka sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda,” kata Jawatankuasa Bebas berkenaan yang dipengerusikan Tun Md Raus Sharif itu.

Dalam dapatan penuh setebal 58 muka surat dengan 68 perenggan itu, bekas Ketua Hakim Negara itu mengesahkan sepanjang siasatan oleh pihaknya mendapati beberapa pihak enggan memberi bekerjasama khususnya ejen yang menguruskan dokumentasi tujuh pemain berkenaan.

“Dokumen di yang didakwa palsu itu disahkan sebagai salinan benar oleh seorang notari awam, Lee Lin Jee, yang enggan bekerjasama dengan siasatan.

“Sehubungan itu, jawatankuasa menyatakan mereka tidak dapat menentukan bagaimana dokumen berkenaan dinotarikan atau siapa yang secara fizikal memalsukannya.

“Jawatankuasa turut mendapati kegagalan pentadbiran di peringkat kanan FAM telah membolehkan dokumen berkenaan dihantar tanpa pengesahan sewajarnya,” katanya.

Ujar jawatankuasa itu lagi, tujuh pemain berkenaan memberitahu pihaknya bahawa semua urusan pentadbiran dikendalikan oleh FAM dan ejen mereka serta menegaskan, mereka tidak menyedari bahawa dokumen palsu telah dihantar kepada FIFA.

“Mereka berkata menyerahkan dokumen asal yang menunjukkan tempat kelahiran sebenar datuk dan nenek mereka kepada ejen masing-masing.

“Namun begitu, ejen-ejen yang dikenal pasti oleh pemain dan pegawai tidak memberikan sebarang kenyataan dan tidak dapat dikesan oleh jawatankuasa,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini FIFA mengenakan denda CHF350,000 ke atas FAM serta menggantung tujuh pemain tersebut selama 12 bulan, hukuman yang dikekalkan selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak semua rayuan pada 3 November lalu.

FAM kemudiannya membawa perkara ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai saluran rayuan terakhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top