Buat julung kalinya, The Germans United yang dianggotai empat pengurus artis berpengalaman tampil menganjurkan sebuah kejohanan sukan berteraskan perpaduan industri kreatif menerusi The Power Play Pickleball Tournament.
Dalam acara yang berlangsung di 1Tomaz Pickleball Club, Subang Jaya pada Isnin, penyanyi Ismail Izzani bersama pengurusnya berjaya meraih gelaran juara manakala pengacara Imran Aqil bersama pengurusnya pula berada di posisi naib juara serta pelakon Ikmal Amry bersama pengurusnya menempatkan diri di tempat ketiga.
@xtra_my Ismail Izzani & pengurus berjaya menewaskan Imran Aqil & pengurusnya di perlawanan pickleball antara artis, pengurus & media, The Power Play 2025 anjuran The Germans United di Tomaz Pickleball Club 🏓 Cayalah Mael! 💥 #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA
Penubuhan The Germans United oleh empat pengurus artis terkenal iaitu Nik Yasmin, Fahmie Muslim, Aiman Munier dan Faes Zack didorong oleh visi bersama untuk memperkasa dan mengembangkan potensi artis tempatan.
Penganjuran kejohanan pickleball ini menjadi antara langkah awal ke arah memperkukuh jaringan industri, menggalakkan kerjasama serta membina hubungan profesional yang melangkaui bidang hiburan semata-mata.

Seiring matlamat tersebut, kejohanan ini turut membuka penyertaan kepada pengurus artis lain bagi bersama-sama menyertai aktiviti yang bertujuan mengukuhkan kesatuan dalam industri seni tanah air.
Wakil penganjur, Nik Yasmin berkata, penganjuran acara ini bukan sahaja bertujuan merapatkan hubungan antara selebriti, pengurus artis dan pihak media, malah membentuk komuniti industri yang mengamalkan gaya hidup sihat.
“Hasrat untuk menganjurkan kejohanan ini bermula sebagai satu idea, dan akhirnya menjadi kenyataan apabila menerima maklum balas yang sangat positif daripada selebriti serta rakan media. Apa yang lebih membakar semangat kami ialah sokongan daripada beberapa jenama besar yang tampil memberi tajaan,” katanya.
Tambah Nik Yasmin, penganjuran kejohanan ini membawa misi lebih besar untuk menyatukan seluruh warga industri hiburan tanpa mengira peranan masing-masing.
“Selain mengeratkan hubungan antara artis, pengurus dan media, matlamat utama kami adalah untuk menyatukan semua lapisan dalam industri seni,” ujarnya.
Melihat kepada sambutan yang diterima, pihak penganjur turut merancang untuk menjadikan acara seumpama ini sebagai program tahunan.
“Ini hanyalah permulaan. Berdasarkan respons yang memberangsangkan, kami bercadang untuk meneruskan penganjuran acara seperti ini pada masa hadapan, sama ada dalam bentuk sukan lain atau program berbeza,” jelasnya.
Dalam The Power Play Pickleball Tournament, sebanyak 14 pasangan terdiri daripada artis dan pengurus akan berentap, mewakili kepelbagaian bakat dalam industri hiburan tempatan. Antara artis yang mengambil bahagian termasuk Shahz Jaszle, Zahiril Adzim, Trisha Ooi, Hariz Hamdan, Dahlia Rizal, Fitri Farok, Zarif Ghaz, Maxximus Towle, Ezaidi Aziz, Syafiq Farhain, Nas-T, Ismail Izzani, Imran Aqil dan Ikmal Amry.
Selain itu, kejohanan ini turut disertai 14 pasangan daripada organisasi media yang terdiri daripada wartawan, penyiar dan pencipta kandungan.
Penglibatan media menambah elemen menarik kepada kejohanan ini dan secara tidak langsung merapatkan hubungan antara dunia sukan, hiburan dan komunikasi.
Antara organisasi media yang terlibat ialah XTRA, Kosmo!, mStar, Melodi, Says Seismik, Remaja, Astro Gempak, Hlive, Utusan Malaysia, Eh!, Selamat Pagi Malaysia, Harian Metro, Oh Bulan dan F8Buzz.
Interaksi secara langsung di gelanggang diharap dapat memperkukuh pemahaman mengenai semangat kolaborasi yang menjadi penggerak utama industri hiburan Malaysia.
The Power Play Pickleball Tournament juga disasarkan sebagai platform baharu yang menyatukan penggiat hiburan dan media dalam suasana positif, sihat dan penuh semangat kebersamaan, selaras dengan misi The Germans United untuk memperkukuh ekosistem hiburan negara melalui pengalaman kolaboratif yang bermakna.
Para pemenang kejohanan membawa pulang hadiah menarik termasuk tiket penerbangan ke Perth, Australia bagi juara, tiket penerbangan ke Labuan Bajo, Indonesia untuk tempat kedua dan tiket penerbangan ke Da Nang, Vietnam bagi pemenang tempat ketiga. Kesemua tiket penerbangan tersebut ditaja oleh AirAsia.
Selain itu, peserta turut memenangi kasut jenama Asics serta pelbagai hadiah lain yang lumayan.




