am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 120 orang mangsa banjir di Mersing, Johor, sudah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), hari ini.
Menurut data Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), PPS berkenaan dibuka di daerah itu mulai hari ini, dengan seramai 31 keluarga terbabit.
Ia membabitkan 65 mangsa dewasa, 49 kanak-kanak dan empat orang bayi.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan, beberapa daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing dikategorikan dalam Tahap Buruk susulan amaran hujan berterusan sehingga esok.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga dilaporkan berkata, keadaan itu berisiko menyebabkan banjir besar, banjir kilat, peningkatan mendadak paras sungai serta gangguan kepada jalan utama dan operasi lapangan.
Sementara itu, Info Bencana JKM juga melaporkan, selain Johor, enam lagi negeri masih membuka PPS untuk mangsa banjir. Ia membabitkan negeri Pahang, Sabah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Sarawak.
Setakat jam 7 pagi ini, keseluruhan mangsa yang terbabit adalah seramai 2,618 orang dan 759 keluarga.
Pahang mencatat jumlah mangsa teramai iaitu sebanyak 2,050 mangsa, diikuti Sabah (221), Johor (120) dan Terengganu (108).
Secara keseluruhan jumlah kanak-kanak termasuk bayi yang berada di PPS adalah seramai 1,012 orang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




