am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membangunkan Modul Advokasi Keselamatan Jalan Raya (Edisi Pertama 2025) bagi memperkukuh usaha pendidikan, kesedaran dan pembudayaan keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, modul berkenaan adalah inisiatif strategik JPJ dan Perkeso dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran.
Katanya, ia juga memperkasakan advokasi keselamatan jalan raya secara bersepadu dan berterusan.
“Pembangunan modul itu selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022–2030 yang menyasarkan pengurangan sebanyak 50 peratus kadar kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang 2030.
“Modul itu akan menjadi panduan komprehensif membabitkan lima golongan sasaran utama iaitu pelajar, belia, komuniti, pekerja dan pemandu kenderaan berat yang juga antara pengguna jalan raya terbesar di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerjasama antara JPJ dan Perkeso itu juga membolehkan pihaknya melaksanakan advokasi bersasar kepada komuniti pekerja dan syarikat yang mempunyai kadar insiden lebih tinggi berdasarkan data dan profil syarikat Perkeso.
“Melalui pendekatan itu, program advokasi JPJ dapat meningkatkan keberkesanan intervensi pendidikan keselamatan jalan raya.
“JPJ merakamkan penghargaan kepada Perkeso atas kerjasama strategik ini dan komited memperkukuh lagi usaha bersama dalam meningkatkan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




