Beijing: Pihak berkuasa China memaklumkan mereka sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan seorang atlet wanita yang mendakwa dibuli oleh ketuanya selepas enggan menyerahkan wang hadiah hasil kemenangannya pada Sukan Asia 2023.
Pendayung perahu naga, Wang Li, 23, yang meraih tiga pingat emas pada temasya yang tertangguh akibat pandemik di Hangzhou itu, menuduh pengarah pusat latihannya bertindak melakukan ‘tindakan balas dendam’ menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial.
Menurut Li, sejurus kembali ke Pusat Latihan Sukan Songmao di wilayah Yunnan, pengarah pusat itu, Fan Jiwen, menuntut supaya dia menyerahkan 150,000 yuan (RM87,107) daripada wang hadiah yang dimenanginya.
Namun selepas dia menolak permintaan itu, Li mendakwa Jiwen melarangnya menjalani latihan, menyerahkan dokumen persaraan tanpa persetujuannya serta memperlekehkan dirinya dalam mesyuarat awam.
Biro Sukan Wilayah Yunnan dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan pihaknya mengambil maklum dakwaan Li dan sudah menubuhkan satu pasukan bagi menjalankan ‘siasatan menyeluruh’.
“Berdasarkan hasil siasatan, Biro Sukan Wilayah akan mengendalikan perkara ini mengikut peraturan, disiplin dan undang-undang,” menurut kenyataan itu menerusi akaun WeChat rasmi mereka.
Dalam video yang dimuat naik di aplikasi media sosial popular China, Xiaohongshu, Li mendakwa ‘Pengarah Jiwen sering memberitahu kami supaya berterima kasih kerana pekerjaan kami diberikan olehnya, gaji dibayar olehnya dan urusan persaraan ditentukan olehnya’.
“Dia berkata, ‘Saya boleh memberi kamu segalanya dan juga boleh mengambil segalanya’,” kata Li.
Atlet itu turut mendakwa Jiwen menipu pihak atasan dengan mendakwa dia tidak mampu berlatih akibat kecederaan, sekali gus ‘memusnahkan sepenuhnya’ peluangnya untuk terus bertanding.
Li menambah, layanan buruk serta ‘penindasan’ berpanjangan oleh Jiwen menyebabkan dia mengalami kemurungan teruk.
“Saya tertanya-tanya sama ada hidup saya tidak akan sesukar ini sekiranya saya tidak berusaha begitu keras untuk memenangi pingat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




