Mbappe semakin hampir atasi rekod jaringan Ronaldo

Mbappe semakin hampir atasi rekod jaringan Ronaldo

Talavera De La Reina, Sepanyol: Kylian Mbappe semakin hampir memecahkan rekod jaringan setahun kalendar Cristiano Ronaldo bersama Real Madrid selepas meledak dua gol ketika membantu pasukannya menang 3-2 ke atas kelab divisyen ketiga, Talavera de la Reina untuk mara ke pusingan 16 terakhir Piala Raja Sepanyol, awal pagi tadi

Dua jaringan penyerang Perancis itu serta gol sendiri pertahanan Manuel Farrando, sudah memadai untuk memastikan kemenangan Real meskipun jaringan Nahuel Arroyo dan Gonzalo Di Renzo hampir merosakkan malam pasukan pelawat.

Mbappe, yang sebelum perlawanan meledak 56 gol dalam semua kejohanan pada 2025, kini hanya satu gol di belakang rekod 59 jaringan setahun kalendar milik Ronaldo pada 2013.

Dengan satu lagi perlawanan masih berbaki tahun ini, menentang Sevilla yang bergelut dalam LaLiga di Santiago Bernabeu pada Sabtu, penyerang Perancis itu berpeluang memintas legenda Portugal tersebut.

Di hadapan kira-kira 4,000 penyokong fanatik di Castilla-La Mancha, Real Madrid menguasai permainan awal, dengan bakat muda Endrick, Arda Guler dan Gonzalo Garcia mempamerkan persefahaman baik bersama Mbappe.

Namun, mereka berulang kali dinafikan aksi cemerlang penjaga gol Talavera, Jaime Gonzalez.

Dengan jurulatih Xabi Alonso merehatkan tonggak utama termasuk Vinicius Jr, Jude Bellingham dan Thibaut Courtois, Real jelas mengharapkan sentuhan Mbappe sebagai pencetus inspirasi.

Tandukan Fran Garcia diselamatkan di atas garisan oleh Alvaro Lopez pada minit ke-39, sebelum tercetus kontroversi beberapa saat kemudian.

Pengadil Guillermo Cuadra menghadiahkan sepakan penalti kepada Real selepas menganggap bola terkena tangan Marcos Moreno walaupun sentuhan itu kelihatan berpunca daripada asakan pemain Real, Alvaro Carreras dalam kotak penalti.

Tanpa penggunaan VAR sehingga pusingan 16 terakhir Copa del Rey, keputusan itu kekal dan Mbappe tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-41 untuk terus menghampiri rekod Ronaldo.

Sebelum rehat, Mbappe sekali lagi membantu Real menemui jaringan, kali ini dengan sedikit tuah apabila percubaannya dari jarak dekat terkena Farrando dan masuk ke gawang Talavera untuk memberikan kelebihan 2-0 kepada pelawat.

Real mensia-siakan beberapa peluang untuk menambah jaringan pada separuh masa kedua, termasuk peluang satu lawan satu Mbappe pada minit ke-52 sebelum Gonzalez menepis rembatan kencang jarak jauh.

Talavera meningkatkan asakan dan pada minit ke-80 Farrando yang memulakan serangan balas pantas menghantar tepat kepada Arroyo yang melepaskan rembatan padu menewaskan Andriy Lunin untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Tuan rumah mula menghidu kejutan, namun harapan mereka musnah akibat kesilapan penjaga gol lewat permainan. Rembatan lemah Mbappe dari luar kotak penalti pada minit ke-83 terlepas daripada genggaman Gonzalez dan bola meleret masuk ke gawang, mengembalikan kelebihan dua gol Real.

Talavera bangkit sekali lagi pada minit ke-91 apabila Di Renzo pantas menyambar bola muntah selepas rembatan Isaiah Navarro terkena tiang.

Penjaga gol Real, Andriy Lunin, kemudian memastikan kemenangan pasukannya dengan satu aksi menyelamat hebat pada detik akhir, menafikan percubaan Navarro dari jarak dekat ketika pasukan kerdil itu memburu gol penyamaan dramatik.

Dalam perlawanan lain semalam, Antoine Griezmann menjadi inspirasi Atletico Madrid untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas kelab divisyen keempat, Atletico Baleares.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top