Wanita tersalah tekan pedal, kereta Jaguar masuk kolam renang

Wanita tersalah tekan pedal, kereta Jaguar masuk kolam renang

La Ciotat, Perancis: Seorang wanita warga Perancis dan anak perempuannya nyaris lemas selepas kenderaan mereka secara tidak sengaja terbabas ke dalam kolam renang di sebuah bangunan di sini, minggu lalu.

Memetik laporan Metro UK, pada kejadian 8.50 malam 11 Disember lalu, wanita berusia 38 tahun itu dikatakan terkeliru antara pedal brek dan pedal minyak Jaguar XF miliknya ketika cuba membuat pusingan di tempat letak kereta di pusat riadah komuniti di La Ciotat, berhampiran Bandar Marseille di selatan Perancis.

Kereta berkuasa tinggi itu kemudian meluncur melepasi cerun di belakang petak parkir, merempuh pagar keselamatan serta dinding kaca bangunan berkenaan.

Kenderaan itu terus bergerak sekurang-kurangnya 30 meter (m) sebelum mendarat di dalam kolam renang sepanjang 25 meter di dalam bangunan berkenaan.

Menurut portal berita tempatan Var Martin, ketika kejadian, kira-kira 20 orang berada di kawasan kolam renang itu.

Ibu dan anak perempuannya itu terperangkap di dalam kereta, namun dua penyelamat dan seorang orang awam berjaya menarik mereka keluar dari kenderaan berkenaan.

Tiada sesiapa yang cedera dalam insiden itu kecuali seorang lelaki yang mengalami luka kecil akibat serpihan kaca.

Susulan kejadian, pasukan kecemasan termasuk bomba dan ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian.

Ibu dan anak perempuan itu kemudian dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga dan dilaporkan berada dalam keadaan baik.

Pegawai tempatan berkata, kolam renang itu akan ditutup buat sekurang-kurangnya beberapa ketika berikutan ‘kerosakan besar’ pada kemudahan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top