sukan@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Ketua Jurulatih Sabah FC, Jean Paul de Marigny dikhabarkan meletak jawatan sebagai pengendali skuad Sang Badak berkuatkuasa serta merta.
Berita itu berdasarkan perkongsian ucapan terima kasih dan penghargaan terhadap pengendali berasal dari Mauritius itu yang dimuat naik di akaun Facebook Sabah FC, lewat petang tadi.
“Walaupun perjalanan kamu dengan Sang Badak sangat singkat, impaknya sangat bermakna. Terima kasih Coach atas kepimpinan, kerja keras dan pengaruh positif yang diberikan kepada pasukan.
“Kami benar-benar menghargai segala yang kau berikan. Kamu sentiasa dialu-alukan untuk kembali semula ke sini. Didoakan yang terbaik untuk kamu. Ponsikou, kotohuadan (terima kasih),” kata perkongsian di akaun Facebook Sabah FC itu.
Menerusi satu lagi perkongsian di akaun yang sama, De Marigny meninggalkan kata-kata akhir buat pasukan menerusi sepotong ayat yang menyatakan perasaannya terhadap Sang Badak.
“I will depart from the club, but never leave the club (Saya akan berangkat dari kelab, tapi tidak meninggalkan kelab),” katanya.
Terdahulu, menerusi satu video di akaun Facebook Sabah FC, De Marigny meluahkan isi hatinya sepanjang kira-kira empat bulan bersama Sabah FC, termasuk sebab beliau meletakkan jawatan.
Katanya, faktor keluarga yang mahukan beliau dapat bersama mereka membuatnya terpaksa memilih keputusan sukar itu.
Beliau turut menyatakan kegembiraannya atas kejayaan Sabah FC dapat ke final Piala FA 2025 di bawah bimbingannya.
De Marigny berjaya membawa Sabah FC ke saingan akhir Piala FA 2025 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




