Juara program realiti One in A Million (OIAM), Marygrace, 24, menyimpan hasrat untuk membawa ibu dan adiknya menunaikan ibadah umrah di Makkah.
Meletakkan sasaran berangkat ke Tanah Suci pada tahun hadapan, pemilik Marygrace Jane Penserga itu menjelaskan perancangan tersebut perlu disusun dengan rapi memandangkan adiknya masih belum menamatkan pengajian dan kini berada dalam fasa akhir latihan praktikal.
“Itu salah satu impian saya selepas menang OIAM. Saya kena rancang betul-betul sebab adik masih belajar dan sekarang ini bulan terakhir dia jalani latihan industri.
“Walaupun dalam hati rasa belum benar-benar bersedia, ibu sangat berharap kami sekeluarga dapat menunaikan umrah bersama, termasuk ibu saudara saya. Insya-Allah, kami sasarkan tahun depan,” katanya.
Marygrace berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi minum petang bersama Marygrace dan Kai Deva di Lado Pavilion Damansara Height, Kuala Lumpur, semalam.
Sebelum ini, Marygrace mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara OIAM yang berlangsung pada Februari lalu, sekali gus membawa pulang hadiah utama bernilai RM1 juta.
Kemenangan tersebut merangkumi wang tunai RM500,000, sebuah Peugeot 408 GT serta kontrak rakaman bersama Alternate Records, selain lagu baharu yang bakal digubah dan diterbitkan oleh komposer terkenal Ade Govinda.

Mengulas mengenai wang kemenangan OIAM yang dimenanginya, Marygrace berkata sebahagian daripada hadiah tersebut digunakan untuk membuka perniagaan mengecat kereta bersama rakan kongsinya di Kota Kinabalu, Sabah.
“Saya memang minat kereta sejak dulu, jadi saya gunakan peluang ini untuk ceburi perniagaan yang dekat dengan minat saya. Selain itu, saya juga melabur dengan membeli tanah kerana bercadang membina rumah untuk keluarga. Selebihnya saya mahu menyimpan,” katanya.
Dalam perkembangan kerjaya seni pula, Marygrace memaklumkan perancangan untuk mengadakan showcase bagi memenuhi permintaan peminat, khususnya di Sabah.
“Saya bercadang buat showcase sama ada di Kota Kinabalu atau Keningau terlebih dahulu sebab ramai rakan dan peminat di sana yang minta. Idea ini juga datang selepas melihat rakan seperjuangan dalam OIAM, Zazzleen Zulkifli, yang sudah mengadakan showcase bersama peminat sebelum ini.
“Saya menghadiri showcase Zazzleen dan melihat sendiri bagaimana suasana showcase yang mendekatkan penyanyi dengan peminat, jadi matlamat seterusnya saya sudah simpan hasrat untuk adakan showcase secara kecil-kecilan,” katanya.
Dalam pada itu, Marygrace sedang giat mempromosikan single terbaharu berjudul Langit Tak Menjawab ciptaan Acap Salim dan Arif Izo.
Karya tersebut menjadi lagu tema bagi telefilem Rumah Tanpa Cahaya lakonan Zarif Ghazzi dan Daiyan Trisha yang bersiaran baru-baru ini di TV3.




