Miami: Seramai 18 petinju hadir pada sidang media terakhir di Kaseya Center, Miami, malam Rabu menjelang acara blockbuster Netflix dikenali sebagai “Judgment Day” yang akan berlangsung Sabtu ini, dengan tumpuan terarah kepada pertarungan heavyweight lapan pusingan antara Jake Paul dan Anthony Joshua.
Pertarungan itu menjadi kenyataan selepas Gervonta Davis dari Maryland (30-0-1, 28 KO) menarik diri daripada perlawanan asal menentang Paul (12-1, 7 KO) yang dijadualkan pada 14 November lalu, sekali gus membuka ruang kepada Joshua dari England (28-4, 25 KO) untuk menerima cabaran walaupun wujud perbezaan berat sekurang-kurangnya 53 paun (24 kilogram) antara kategori heavyweight dan cruiserweight.
Joshua, bekas juara dunia heavyweight, menegaskan dia tidak berasa gementar untuk berdepan Paul meskipun pertarungan itu dianggap berat sebelah oleh sesetengah pihak.
“Untuk pertarungan ini, dari sudut memikul tanggungjawab terhadap tinju, seolah-olah saya dipanggil untuk menyelamatkan petinju sebenar, kemurnian sukan ini,” kata Joshua kepada wartawan.
“Ramai yang tidak suka saya berlawan dengan Jake. Sama ada itu mengganggu saya atau tidak, itu cerita lain. Tetapi jika kita lihat, mereka yang tidak mahu saya berada di sini mahu saya menamatkan ‘show’ Jake Paul, dan saya faham perkara itu. Sebab itulah saya perlu memikul tinju di belakang saya dalam pertarungan ini.”
Paul bagaimanapun tidak bersetuju, walaupun mengakui dia menghormati Joshua sebagai bekas juara ternama.
Joshua, 36, kali terakhir beraksi pada September 2024 dan memasuki pertarungan ini dengan rekod memenangi tiga daripada empat perlawanan terakhirnya.
“Saya rasa tiada siapa yang melakukan lebih banyak perkara untuk sukan tinju dalam tempoh sedekad lalu selain saya,” kata Paul, 28, bekas pempengaruh media sosial yang beralih ke dunia tinju.
“Jika orang benar-benar mengambil berat mengenai tinju, mereka sepatutnya mahu saya menang. Saya faham sudut pandang mereka, dia petinju tradisional, seumur hidup dalam tinju. Tetapi saya rasa saya lebih penting untuk sukan tinju.”
Paul tidak menghuraikan lanjut kenyataannya, namun berkata terdapat nilai lebih besar sekiranya dia menewaskan nama besar seperti Joshua.
© New Straits Times Press (M) Bhd




