Madrid: Villarreal akan melayan kunjungan Barcelona pada Ahad dengan impian untuk merangkul kejuaraan LaLiga pertama dalam sejarah kelab kini dilihat semakin realistik, sekali gus menambah rencah kepada persaingan kejuaraan yang sukar dijangka.
Pengendali Marcelino Garcia Toral berjaya mengubah Villarreal menjadi pencabar sebenar apabila memimpin pasukan itu ke tangga ketiga liga hasil enam kemenangan berturut-turut.
Dengan 35 mata dan yang lebih penting mempunyai dua perlawanan dalam tangan berbanding Real Madrid (39 mata) serta pendahulu liga Barca (43 mata), Yellow Submarine berpotensi mengemudi laluan baharu dalam perebutan kejuaraan.
Kiraan matematik cukup mengujakan buat penyokong Villarreal.
Jika mereka memenangi dua perlawanan dalam tangan, mereka akan memintas Real Madrid.
Tambah kemenangan ke atas Barca Ahad ini, Villarreal akan berada satu mata di puncak carta.
Pasukan kendalian Marcelino turut menjadikan Stadium La Ceramica sebagai kubu kebal apabila hanya dibolosi empat gol dalam lapan perlawanan di laman sendiri, kekal tanpa kalah dan memenangi tujuh daripadanya.
Namun, kegembiraan domestik itu menjadi penawar kepada kempen hambar di pentas lain.
Villarreal melalui kempen Liga Juara-Juara yang mengecewakan apabila sekadar mengutip satu mata daripada enam perlawanan.
Lebih perit, mereka turut tersingkir daripada Piala Raja Sepanyol selepas tewas mengejut 1-2 kepada pasukan divisyen dua, Racing de Santander, Rabu lalu.
Perlawanan Ahad ini pada asalnya dirancang berlangsung di Miami sebelum rancangan peluasan antarabangsa LaLiga dibatalkan susulan kritikan hebat, sekali gus menggagalkan hasrat menjadikannya perlawanan liga Eropah pertama diadakan di luar benua itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




