ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hari kesembilan Sukan Sea Thailand 2025 menyaksikan kontinjen Malaysia meraih lima emas empat perak dan lima gangsa, walaupun sangat berbeza berbanding sehari sebelumnya, namun ia sudah cukup untuk melengkapkan sasaran 200 pingat, selepas keseluruhannya sebanyak 205 pingat berjaya diraih.
Daripada jumlah itu, Malaysia sudah meraih 46 pingat emas, 49 perak dan 110 gangsa untuk berada di kedudukan kelima carta pingat, dengan pencapaian emas itu turut menunjukkan peningkatan ketara berbanding 34 pada edisi Kemboja 2023.
Momentum cemerlang itu menyaksikan Majlis Sukan Negara (MSN) kini meletakkan sasaran baharu apabila Malaysia mengintai peluang untuk menambah koleksi emas dan memintas Singapura yang berada di tangga keempat dengan 48 emas.
Harapan itu dilihat realistik apabila beberapa acara masih berpotensi menyumbang emas, termasuk berbasikal trek yang dijangka menjadi tumpuan utama pada hari kesembilan dengan dua emas masih menjadi rebutan.
Malaysia turut berada di landasan terbaik untuk menyapu bersih emas dalam acara hoki dalam dewan dan hoki padang selepas skuad lelaki serta wanita masing-masing mara ke perlawanan akhir.
Lebih manis, dua emas sudah hampir pasti menjadi milik negara menerusi acara skuasy perseorangan lelaki dan wanita apabila kedua-dua final bakal menyaksikan pertembungan sesama sendiri pemain Malaysia di Kolej Vajiravudh.
Hari kesembilan turut menyaksikan kem negara terus mengutip emas menerusi beberapa acara, termasuk memanah apabila trio compound berpasukan lelaki negara menewaskan tuan rumah Thailand 232-228 di Lapang Sasar Memanah, Sports Authority of Thailand, biarpun berdepan keadaan cuaca mencabar.
Trio Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki mempamerkan ketenangan tinggi untuk memastikan emas menjadi milik Malaysia.
Sukan berbasikal trek pula muncul penyumbang terbesar hari ini apabila menghadiahkan tiga emas, masing-masing menerusi Muhammad Ridwan Sahron dalam acara keirin lelaki, Nur Aisyah Mohamad Zubir (scratch wanita) serta kuartet kejar-mengejar berpasukan lelaki yang menewaskan Thailand di final.
Skuad kabaddi lelaki melengkapkan hari gemilang Malaysia apabila mencipta sejarah dengan merangkul pingat emas pertama sukan itu di Sukan Sea, hasil kemenangan ke atas Thailand dalam perlawanan akhir acara 3 Bintang di Universiti Teknologi Rajamangala Rattanakosin.
Dengan baki dua hari saingan, Malaysia kini berada dalam posisi terbaik untuk terus menambah emas dan menutup kempen Sukan Sea Thailand 2025 dengan penuh bergaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




