am@hmetro.com.my
Rembau: Polis mengesahkan mayat yang ditemui di kawasan rumah kosong di Kampung Batu 4, Pedas, di sini, hari ini adalah wanita yang disyaki berkait laporan orang hilang di Ampang, Selangor.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mayat wanita itu ditemui di dalam sebuah beg yang ditanam di belakang rumah.
“Pada 15 Disember lalu, satu laporan polis berkaitan orang hilang membabitkan seorang wanita diterima Balai Polis Ampang. Susulan itu maklumat lanjut diperoleh daripada satu laporan di Balai Polis Pedas, Rembau.
“Bertindak atas maklumat itu, pihak polis pergi ke sebuah rumah di Jalan Pedas-Linggi di sini dan pemeriksaan di sekitar kawasan rumah mengesan berlakunya unsur perlakuan jenayah di kawasan belakang rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menjumpai satu beg mengandungi mayat seorang wanita yang ditanam dan kertas siasatan dibuka Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Rembau mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Prosedur bedah siasat akan dijalankan esok. Pihak polis kini sedang giat menjalankan siasatan dan mengesan individu yang disyaki terbabit dalam kes ini.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6852222,” katanya.
Semalam media melaporkan polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Khairul Anuar Khalid dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan Suri Narudin, 53, daripada ibu saudaranya.
Terdahulu, tular rakaman video penyanyi Mac Ruhayu memohon bantuan orang ramai bagi mengesan rakannya yang dilaporkan hilang dan gagal dihubungi itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



